Artikel

‘Kecil Tapak Tangan, Nyiru Kami Tadahkan!’

على الرحب والسعة!

Kecil Tapak Tangan, Nyiru Kami Tadahkan!

Sebut sahaja tetamu, sudah pasti kita akan terbayangkan orang datang bertandang ke rumah dengan niat untuk berziarah mengeratkan silaturahim. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :

“من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليكرم ضيفه”

Maksudnya: “Barang­­siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya”                                                                                                                       

(HR Al-Bukhari dan Muslim)

Subhanallah! Betapa pentingnya kita perlu memuliakan tetamu sehinggakan  Rasulullah s.a.w. sendiri mengatakan perbuatan tersebut menggolongkan  kita dalam kalangan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Bahkan orang yang tidak melayan tetamu dengan baik boleh dikatakan tidak sempurna imannya.

Tetamu, sebagaimana yang telah diketahui umum, merupakan orang yang menziarahi seseorang sama ada dijemput atau tidak. Oleh itu, sudah menjadi kewajipan bagi setiap manusia khususnya muslim untuk menyambut dan melayani tetamu dengan sebaik-baiknya kerana perbuatan tersebut juga merupakan sebahagian daripada akhlak mulia para nabi dan pengikut-pengikutnya.

Contoh yang paling dekat yang boleh kita ambil adalah daripada nabi kita sendiri, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabat baginda s.a.w.. Dalam riwayat Al-Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah r.a. berkata: Pada suatu ketika, telah datang seorang lelaki kepada baginda s.a.w. lalu berkata: “Sesungguhnya aku sangat lapar,” , lalu baginda pun menyuruh seseorang untuk meminta bantuan kepada salah seorang isteri baginda, namun isteri baginda berkata: Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak memiliki apa-apa selain air.

Baginda pula lalu menyuruh seseorang untuk meminta bantuan kepada isteri Baginda yang lain, namun isteri Baginda ini juga mengatakan hal yang sama, sehingga semua isteri Baginda juga mengatakan hal yang sama, iaitu: Demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak memiliki apa-apa selain air.

Nabi lalu berkata kepada sahabat: Adakah daripada kamu yang mahu menjamu orang ini malam ini? Seorang daripada kalangan Ansar berkata: Saya, wahai Rasulullah. Seterusnya, orang itu pun membawa orang tadi ke rumahnya. Sesampai di rumah, dia berkata kepada isterinya: Muliakanlah tetamu Rasulullah ini.

Subhanallah, sehingga begitu sekali akhlak Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya dalam memuliakan tetamu. Baginda tetap berusaha untuk memenuhi hajat tetamu baginda sehinggakan ada pula sahabat baginda yang ingin melayani tetamu baginda itu.

Nabi s.a.w. juga mengajar kita agar jika kita mahu menjemput tetamu, jemputlah mereka yang bertakwa, serta jemputlah mereka yang kaya mahupun miskin, tanpa mengira status sosial mereka. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

شَرُّ الطعامِ طعامُ الوَليمَةِ، يُدْعَى لها الأغْنياءُ ويُتْرَكُ الفُقَراءُ

Maksudnya:

Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah yang mana orang-orang kaya diundang, dan orang-orang miskinnya ditinggalkan.                                                                                                      

(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

 

Baiklah, setelah kita mengetahui akan pentingnya memuliakan tetamu, apakah adab-adab atau cara-cara melayan tetamu? Apakah sunnah-sunnah nabi dalam melayani dan memuliakan tetamu? Antara adab atau sunnah melayan tetamu yang telah nabi ajarkan kepada kita ialah:

  1. Menerima tetamu dengan baik dan penuh kegembiraan

Apabila Rasulullah s.a.w. menerima tetamu, baginda menyambut mereka dengan penuh kegembiraan, ikhlas dan berlapang dada serta bermanis muka.

Disunahkan juga mengucapkan selamat datang kepada tetamu sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. ketika utusan Abi Qais datang kepada Rasulullah s.a.w., baginda bersabda:

 مرحبا بالوفد، الذين جاؤوا غير خزايا ولا ندامى

Maksudnya:

Selamat datang kepada para utusan yang datang tanpa merasa terhina dan menyesal.

(HR Al-Bukhari)

 

Bukan itu sahaja,baginda juga sanggup memberikan serban baginda kepada tetamu baginda untuk duduk,: Suatu hari Jarir bin Abdullah terlewat datang ke rumah Rasulullah s.a.w.. Ketika itu rumah baginda sudah melimpah dengan orang ramai. Sama seperti Jarir, semua yang datang ada hajat masing-masing untuk berjumpa Nabi selain ingin mendengar syarahan serta bimbingan daripada Rasulullah s.a.w.

Jarir susup-sasap mencari tempat. Ketika itu timbul rasa kesal kerana datang terlalu lewat. Namun selepas berusaha, dapat juga dia ke ruang hadapan. Walaupun syarahan belum bermula, selalunya waktu begitu dia sudah bersila di hadapan Nabi s.a.w.. Bagaimanapun, badannya yang kecil memudahkannya menyelit di celah-celah orang ramai itu. Selepas meminta maaf, memberikan senyuman, seorang lelaki mengesot sedikit, memberi Jarir ruang yang cukup untuk bersila.

Dia melihat para sahabat yang lain juga terpaksa duduk bersesak-sesak sehingga tiada ruang lagi yang kosong. Kedatangan Jarir disedari Rasulullah s.a.w.. Baginda melihat Jarir duduk di atas lantai tanpa tikar. Lalu baginda melepaskan serban di bahu dan memberikan kepada tetamu istimewanya itu. “Hai Jarir, duduklah di atas serbanku ini”, pelawa Rasulullah s.a.w. sambil tersenyum lalu membentangkan kain serban itu di lantai.

Jarir terkejut bercampur terharu kerana mendapat perhatian baginda. Dia mengambil serban tersebut lalu diusap-usap ke mukanya beberapa kali. Jarir kemudian menangis teresak-esak. Kemudian dia melipatnya seperti sediakala dan memulangkan semula secara terhormat kepada Rasulullah s.a.w.. “Tak mungkin aku duduk atas pakaianmu yang mulia ini wahai Nabi Allah. Semoga Allah memuliakan Rasulullah sebagaimana baginda memuliakan aku,” kata Jarir sebak.

Orang ramai yang hadir terpegun bahkan ada yang turut mengalirkan air mata. Sambil menoleh ke kanan dan kiri, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila datang seorang tetamu yang mulia maka muliakanlah dia, dan apabila datang kepada kamu seorang yang ada hajat atas kamu maka muliakanlah mereka”. Subhanallah, betapa mulianya seorang tetamu di sisi Rasulullah s.a.w.. Baginda sanggup menjadikan serbannya itu sebagai alas tempat duduk untuk tetamunya itu sehinggakan tetamunya itu merasa sangat terkejut dan terharu. Wallahu a’lam.

 

  1. Menyegerakan hidangan makanan kepada tetamu

Firman Allah s.w.t.:

وَلَقَدْ جَاءَتْ رُسُلُنَا إِبْرَاهِيمَ بِالْبُشْرَىٰ قَالُوا سَلَامًا ۖ قَالَ سَلَامٌ ۖ فَمَا لَبِثَ أَن جَاءَ بِعِجْلٍ حَنِيذٍ

Maksudnya:

“Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan kami kepada Nabi Ibrahim, dengan membawa berita yang mengembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu (wahai Ibrahim)”. Nabi Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu”. Maka tidak berapa lama selepas itu, ia membawa jamuan untuk mereka: seekor anak lembu yang dipanggang.
(Surah Hud 11:69)

    Berdasarkan ayat di atas, jelaslah bahawa tuan rumah mestilah bersegera dalam menghidangkan makanan kepada tetamu yang ada . Malah, tidak patut bagi tuan rumah lengah dalam menghidangkan makanan semata-mata menunggu tetamu yang lain. Bukan itu sahaja, tuan rumah juga perlu menyediakan hidangan terbaik mengikut kemampuannya serta berpada-pada yakni tidak berlebihan kerana ia juga merupakan sebahagian daripada sunnah Nabi s.a.w..

Tambahan pula, tuan rumah juga perlulah makan bersama tetamunya dan jangan berhenti makan sehinggalah tetamunya berhenti makan kerana ini juga merupakan sebahagian adab dalam melayani tetamu. Hal ini juga bertujuan agar tetamu tidak merasa malu sekiranya dia masih menginginkan makanan tersebut.

 

 

  1. Memberi khidmat kepada tetamu dengan diri sendiri

Ini bermaksud tuan rumah dan para penghuninya bekerjasama dalam melayani dan memuliakan tetamu.

Sebagaimana kisah yang pernah saya sebutkan sebelum ini, iaitu ketika seorang Ansar menerima tetamu Rasulullah s.a.w serta membawanya pulang ke rumah. Isterinya mendapati bahawa hanya terdapat sedikit makanan lalu ketika mereka menghidangkan makanan kepada tetamu, isterinya terus memadamkan pelita ketika tetamu makan bersama mereka, agar tetamu tersebut senang menganggap bahawa beliau dan isterinya sedang makan bersamanya sedangkan mereka berdua langsung tidak menjamah hidangan. Siapakah orang Ansar dan isterinya itu? Itulah Abu Talhah r.a. dan isterinya Ummu Sulaim r.ha..

Dan turunlah ayat dari Allah SWT merakamkan tahniah buat mereka atas perbuatan yang sangat terpuji itu:

وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

                                                                           Maksudnya:                                                                          

Dan mereka mengutamakan, atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung.

(Surah Al Hasyr: 9)

  Ma shaa Allah, sungguh beruntung orang-orang yang memuliakan tetamu mereka meskipun berada dalam serba kekurangan. Mereka disebut-sebut oleh Allah sebagai orang-orang yang beruntung, bahkan Rasulullah s.a.w. turut memuji Abu Talhah dan isterinya dalam melayani tetamu dengan bersabda:

“Sesungguhnya Allah s.w.t. takjub dengan apa yang kamu berdua lakukan kepada tetamu semalam”.

Maka patutlah bagi kita sebagai tuan rumah dan ahli rumah saling bantu-membantu dalam menyediakan kemudahan yang baik mengikut kemampuan kepada tetamu bagi membuatkan mereka selesa. Tuan rumah juga mestilah sentiasa menunjukkan muka yang manis kepada tetamunya sepanjang berada di rumahnya.

Contohnya, apabila tetamu datang untuk bermalam di rumah kita, maka sediakanlah kemudahan tempat tidurnya seperti membersihkan bilik yang akan digunakan tetamu, menyediakan bantal, selimut dan sebagainya.

Setiap perbuatan yang baik itu pasti akan diberi ganjaran oleh Allah. Oleh itu, apakah pula kelebihan dan hikmah yang bakal diperolehi si tuan rumah?

  1. Termasuk dalam kalangan orang yang beriman

 

Orang yang memuliakan tetamunya termasuk dalam golongan yang beriman. Sebagaimana yang telah rasulullah s.a.w. bersabda:

“من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليكرم ضيفه”

Maksudnya: “Barang­­siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya.”                                                                                                                     

(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

  1. Melahirkan dan mengeratkan lagi semangat ukhwah dan kasih sayang

Dengan sikap memuliakan tetamu, ia akan lebih mengeratkan tali silaturrahim dan mengekalkan ukhuwah sesama manusia.

Firman Allah s.w.t.:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ 

Maksudnya:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”
(Surah Al-Hujurat:13)

 

  1. Dimurahkan rezekinya

Melayani dan memuliakan tetamu merupakan jalan bagi membina silaturahim. Dari Anas bin Malik r.a.: Rasulullah s.a.w bersabda:

 مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya:”Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturrahim”

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Berdasarkan hadis tersebut, orang yang memanjangkan silaturahim akan diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, dan antara cara untuk memanjangkan silaturahim ialah melayan tetamu dengan akhlak yang mulia.

 

  1. Sebagai satu jalan dakwah Islamiyah

Tanpa kita sedari, memuliakan tetamu juga merupakan cara ‘halus’ dalam berdakwah. Hal ini akan meninggikan lagi syiar Islam di mana orang-orang bukan Islam akan dapat melihat tingginya akhlak seorang muslim dalam melayani tetamunya dan ini akan sedikit sebanyak menarik minatnya terhadap Islam.

 

Allah s.w.t berfirman:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maksudnya:

“Serulah manusia kepada jalan Allah dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk”
(Surah An-Nahl:125)

  1. Membantu tetamu terutamanya yang bermusafir

Ia akan menolong dan memudahkan urusan tetamu yang dalam musafir terutama dari aspek tempat tinggal,  makan minum dan keperluan asas yang lain.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W.  bersabda yang maksudnya:

“Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya.”

(Hadis riwayat Muslim).

 

  1. Mendapat pahala sedekah

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :

من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليكرم ضيفه جائزته قالوا وما جائزته يا رسول الله قال يومه وليلته والضيافة ثلاثة أيام فما كان وراء ذلك فهو صدقة عليه

Maksudnya:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat hendaklah memuliakan tetamu dengan memberi layanan kepadanya. Sahabat bertanya, “Apakah layanan itu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “ Layanan istimewa selama sehari semalam, dan tempoh layanan sebagai tetamu hendaklah dalam masa tiga hari, layanan yang diberikan selepas tempoh itu dikira sebagai sedekah.”

( Hadis riwayat Al-Bukhari )

Melayan tetamu juga dianggap sebagai sedekah selepas tiga hari tetamu tinggal di kediaman tuan rumah.

Rasulullah s.a.w. telah mengajarkan kepada kita akan pentingya memuliakan tetamu. Hal ini jelas ditunjukkan oleh baginda melalui perbuatan dan perkataannya. Rasulullah adalah qudwatun hasanah yang terbaik dalam setiap aspek bagi seluruh umat manusia sepanjang zaman . Jadi, wahai kawan-kawan sekalian, apabila datang kepadamu tetamu, maka sambutlah dia dengan tangan terbuka dan besar hati!

 

على الرحب والسعة!

“kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan!”

“you are welcomed here and there is always a place for you!

 

|Artikel|

Disediakan oleh :
Farah Nursuraya binti Ab Rahim
Mahasiswi Tahun 3
Universiti Hassan II Mohammedia, Casablanca.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

To Top
Loading...