Penaku Patah

Bahasa Bunga

Bahasa Bunga

 

“Nama kau bunga, 5 tahun berkenalan……”. Seringkali kita mendengar lirik lagu ini berkumandang di radio dan di bibir kawan-kawan. Sudah tentu kita memahaminya bahawa perempuan yang disukai penyanyi  itu cantik. Timbul persoalan pada fikiran saya. Apakah makna sebenar bunga? Adakah maknanya sekadar cinta dan cantik sahaja? Secara makrufnya, jika ditanya kepada masyarakat sedunia tentang makna bunga secara umum, pastinya mereka akan menjawab cinta. Jika kita melihat pada realiti masa kini atau menonton filem-filem terutamanya filem barat, pasti ada adegan seseorang lelaki memberi bunga kepada ‘crush’nya sebagai tanda ingin mengahwininya. Ketahuilah bahawa bunga mempunyai makna yang sangat luas sehinggakan setiap bunga mewakili makna tersendiri. Sebab itulah dikatakan bunga mampu menjadi wakil tanpa bicara yang berkuasa merungkap 1001 falsafah atau rahsia yang tersembunyi.

 

Nabi Muhammad ﷺ pernah menyebut kalimah (  زهرة) dalam hadis riwayat imam Al-Bukhari dan imam Muslim. Daripada Abi Sai’d Al-Khudri radhiallahu ‘anhu berkata. Pada suatu hari, Rasulullah ﷺ  duduk di atas mimbar sedangkan kami duduk di sekililingnya. Baginda bersabda:

 

“إِنَّ مِمَّا أَخَافُ عَلَيْكُمْ مِنْ بَعْدِي مَا يُفْتَحُ عَلَيْكُمْ مِنْ زَهْرَةِ الدُنْيَا وَ زِينَتَهَا”

 

“Sesungguhnya di antara yang aku khuatirkan pada diri kalian setelah pemergianku ialah  dibukakan untuk kalian bunga dunia dan perhiasannya”.
Kalimah ( الدنيا  زهرة) dalam petikan hadis ini ditafsirkan kebahagiaan dan kesenangan dunia. Selain itu kita juga boleh lihat dari sudut persamaan kehidupan di dunia dengan bunga. Ketika suatu tanaman yang hendak menghasilkan buahnya, biasanya diawali dengan pertumbuhan bunga. Kadang-kala bunga itu kelihatan indah dan di saat lain kelihatan sangat menawan. Jadi tidaklah pelik jika kita ingin memetiknya dan simpan di rumah. Namun sedarkah kita sekiranya bunga itu dipetik, ia tidak akan berubah menjadi buah. Ternyata akan segera layu dan akan dibuang begitu sahaja oleh pemetik. Tetapi sekiranya kita membiarkan bunga itu terus berada di tangkainya untuk seketika dan tidak memetiknya, tentu bunga tersebut akan berubah menjadi buah yang bukan saja kelihatan indah bahkan boleh diambil manfaat daripadanya.

Begitulah juga dengan kehidupan di dunia ini. Takhta, jawatan, wanita, keturunan, harta dan sebagainya. Kelihatan sungguh indah dan menawan sehingga mampu menggoda hawa nafsu manusia dan berhasrat untuk menggapai dan menikmatinya. Tetapi haruslah kita ingat bahawa dunia ini fana dan kita hanya dapat menikmati perkara-perkara ini hanya sementara waktu sahaja. Sekiranya kita meninggalkan perkara-perkara ini demi Allah semata-semata,kita akan mendapat ganjaran yang sangat banyak sehingga tak terbayang dalam fikiran kita di akhirat nanti.

 

Setiap kaum mempunyai kefahaman yang berbeza tentang makna bunga dalam budaya masing-masing. Sebagai contoh, kaum Maya. Dalam kepercayaan kaum Maya, mereka mengamalkan konsep k’in dan nik yang boleh diterjemahkan sebagai matahari dan bunga secara kasar. K’in juga bermaksud hari dan masa. Istilah kedua-dua perkataan ini berasal daripada proto-Maya dan Bahasa Klasik Maya. Mereka menjadikan bunga plumeria sebagai  simbol untuk k’in. Hal ini kerana bunga bertumbuh hasil menerima cahaya daripada matahari dan sebahagian daripada jenis-jenis bunga seolah-olah mengikut rutin harian putaran matahari dengan membuka kelopaknya pada waktu pagi, mengikut pergerakan putaran matahari sepanjang hari dan menutup kelopaknya pada waktu malam setelah matahari dimamah oleh raksasa bumi dan meneruskan putarannya di alam ghaib. Dan bunga juga dijadikan simbol kehidupan dan kelahiran kerana bunga akan menyebarkan debunga-debunga supaya tertumbuhnya pokok baru. Oleh sebab itu bunga sememangnya sesuai dijadikan simbol untuk k’in dan lambang bunga boleh didapati pada dewa-dewa yang menjaga waktu.

 

Selain itu,marilah kita bersama-sama menyelami budaya orang Jepun yang sangat terkenal dengan seni ‘Hanakotoba’ yang bermaksud bahasa bunga. Seni ini bertujuan untuk memberi makna yang tertentu bagi setiap bunga dari segi jenis dan warnanya tetapi sayangnya seni ini hampir pupus dek ditelan arus kemodenan. Misalnya,bunga chrysanthemum sangat penting dalam budaya mereka. Bunga chrysanthemum merupakan simbol bagi keluarga diraja Jepun dan simbol ini juga terdapat dalam cap mohor diraja. Bunga ini juga boleh didapati di muka hadapan pasport negara Jepun. Manakala bunga chrysanthemum yang berwarna merah bermakna cinta dan yang berwarna putih pula digunakan untuk majlis pengebumian. Jadi janganlah tersalah memberi bunga yang berwarna putih kepada orang Jepun kerana ia membawa maksud kesedihan dan kematian dan ia dianggap penghinaan bagi mereka sebagaimana bunga yang berwarna dan berbau wangi dianggap penghinaan kepada orang yang meninggal dunia  dalam majlis pengebumian.

 

Ini sahaja yang saya mampu menulis tentang falsafah bunga kerana maknanya tersangat banyak .Penulis bukanlah seorang yang jiwang bercerita tentang bunga semata-mata,tetapi saya ingin membuka mata kaca masyarakat supaya lebih berpemikiran luas dan kritis dalam menyingkap makna-makna yang tersembunyi bukan sahaja tentang bunga, bahkan seluruh perkara yang wujud di bumi ini .Tanpa kita sedari, kita dikelilingi dengan falsafah yang pelbagai.

 

      -melon lord

To Top
Loading...