Artikel

Ghazwah Hamra’ Al Asad

Toko12837425_1677164295906742_801680466_oDi malam itu Rasulullah dalam keadaan memikirkan mengenai situasi Madinah, selepas peperangan Uhud itu, Baginda sangsi dengan sikap Quraisy yang mungkin mereka membuat perubahan sikap setelah mereka menilai semula peperangan yang mereka sertai itu, yang tidak pun memberi sesuatu faedah kepada mereka. Meskipun mereka menang di medan pertempuran, pasti mereka berdukacita, kerana itu mereka mungkin akan berpatah balik untuk melanggar Madinah buat kali kedua di dalam tempoh yang sama. Justeru itu, Rasulullah terfikir untuk membuat operasi memburu tentera Makkah.

Ahli sirah dan peperangan menyebut dalam satu kata sepakat: Di hari itu Rasulullah menyeru sekalian kaum muslimin dan memerintah mereka bergerak untuk berhadapan dengan musuh, seruan ini dibuat pada keesokan hari selepas peristiwa Uhud, iaitu hari Ahad 8 haribulan Syawal tahun 3 hijrah, dengan sabdanya: “Tidak akan menyertai kita di hari ini kecuali mereka yang menyertai peperangan Uhud kelmarin”. Kata Abdullah bin Ubai:

“Boleh aku turut bersama kau”? Jawab baginda: “Tidak”. Sekalian kaum muslimin menyahut seruan Rasulullah itu meskipun mereka mengalami kecederaan yang amat sangat dan ketakutan, tetapi mereka menjawab: “Kami menurut perintah Rasulullah penuh taat setia”.

Di masa itu Jabir bin Abdullah tampil ke hadapan Rasulullah meminta izin untuk turut serta dengan katanya:

“Wahai Rasulullah sebenarnya daku ini tidak suka melihat sesuatu peristiwa itu kecuali ku ingin bersama-sama Rasulullah, namun dalam peristiwa Uhud itu daku tidak bersama-sama Rasulullah kerana bapaku mengamanahkan daku untuk menjaga anak-anak perempuannya. Kali ini izinkanlah daku untuk bersama-sama menyertai bersama tuan hamba. Justeru itu Rasulullah pun membenarkan Jabir turut serta. Rasulullah bergerak bersama tentera Islam, hingga tiba ke tempat bernama Sahra’ al-Asad, sejauh lapan batu (lebih kurang 12km) dari al-Madinah, di situ mereka berkhemah.

Semasa di Hamra’ al-Asad, Ma’bad bin Abi Ma’bad al-Khuzaie telah datang menemui Rasulullah mengisytihar kemasukannya ke agama Islam – namun ada pendapat mengatakan yang beliau ini masih dalam musyriknya, Cuma beliau datang untuk memberi nasihat kepada Rasulullah, kerana di antara Banu Khuza’ah dan Banu Hasyim termeterainya perjanjian, dengan katanya: Wahai Muhammad demi Allah, sesungguhnya apa yang menimpa kamu itu adalah berat bagi kami, hanya doa restu kepada Allah semoga kamu disejahterakan Allah – di sini Rasulullah meminta beliau terus menyertai bersama Abu Sufian dan bertindak menggagalkannya. Sebenarnya apa yang Rasulullah curigai selama ini memang benar terjadi kerana setibanya tentera musyrikin di al-Ruha’ 36 batu(lebih kurang 58 km) dari Madinah ,mereka saling kecam mengecam, di antara mereka menyebut dengan katanya : Sebenarnya kamu tidak melakukan sesuatu apa pun, walaupun dapat pecahkan kekuatan mereka, kemudian kamu biarkan begitu sahaja, kepala-kepala mereka masih hidup dan dapat bersatu semula, ayuh kita patah balik semula untuk memerangi mereka hingga ke akar umbi. Nampaknya pendapat ini mutawatir, disuarakan oleh orang tertentu, yang tidak sangat menilai kekuatan fizikal dan kejiwaan kedua-dua pihak, oleh itu cadangan ini disanggah oleh ketua yang bertanggungjawab, Safwan bin Umaiyah dengan jawapannya: “Wahai kalian kaumku, jangan kamu tergesa-gesa bertindak sedemikian, kerana aku mencurigai, nanti kalau akan ditentangi oleh mereka, (kaum muslimin) yang dahulu tidak keluar berperang, lebih baik kamu pulang, kedaulatan kamu sudah pun di dalam tangan kamu, Aku takut nanti kalau kamu berpatah balik menyerang Madinah kedaulatan kamu itu akan dirampas kembali”, namun pendapat beliau ini tidak mendapat restu dari suara majoriti tentera, malah sebaliknya mereka bersetuju untuk berpatah balik bergerak menuju Madinah, tetapi sebelum Abu Sufian mengalih arah pergerakan tenteranya beliau telah ditemui oleh Ma’bad bin Abi Ma’bad al-Khuzaei yang tidak diketahui tentang keislamannya, beliau telah ditanya oleh Abu Sufian dengan katanya: Ada apa-apa yang tidak baik? Sebagai satu perang saraf, Ma’bad menjawab: Sebenarnya Muhammad keluar bersama-sama sahabatnya, memburu kamu dalam satu ketumbukan yang belum pernah ku lihat lagi seperti itu, kelihatan perasaan mereka meluap-luap untuk menuntut bela, ketumbukan ini telah disertai nampaknya oleh mereka yang tidak bersamanya di dalam peperangan Uhud kelmarin, seolah-olah mereka ini ingin menampung balik ketidakhadiran mereka kelmarin.

Jawab Abu Sufian: Jenis apa yang kamu kata itu:

Jawab Ma’bad: Demi Allah, tidak percaya, kamu boleh maju sedikit ke hadapan ke arah Madinah kamu akan melihat ketumbukan peninjaunya di sebalik bukit itu.

Kata Abu Sufian: “Demi Allah sebenarnya kami sudah sebulat suara untuk membuat serangan mengejut untuk menghapus mereka semua sekali”. Jawab Ma’bad: “Aku menasihati kamu, jangan bertindak bodoh sedemikian”, di masa itu semangat juang tentera musyrikin mulai runtuh, malah mereka sudah mula dalam ketakutan, pada mereka sebaik-baik jalan ialah meneruskan pengunduran ke Makkah, sedang ,Abu Sufian terus memupuk semangat juang di kalangan tentera Makkah, menyeru mereka untuk berpatah balik melanggar Madinah, tujuannya ialah untuk menghalang tentera Islam dari terus memburu mereka. Tepat sekali di mana Abu Sufian telah berjaya dalam usahanya itu, kerana dengan takdir Allah satu rombongan qabilah Abd al-Qais yang belayar, melalui perhentian tentera Makkah menuju ke Madinah, maka Abu Sufian berkata kepada ketua qabilah tadi : Sebaik sahaja kamu bertemu dengan Muhammad dan sahabatnya tolong sampaikan perutusan ini, aku berjanji akan ku muatkan buah-buah kismis ini ke atas tunggangan kamu, di Ukaz bila kamu datang ke Makkah nanti, setelah kamu tunaikan perutusan ku ini. Jawab mereka: “Ya boleh”. Kata Abu Sufian: “Kamu sampaikan kepada Muhammad dan sahabat-sahabatnya bahawa kami telah membuat keputusan untuk menyerang mereka, hingga dapat kami menghapusnya dan pengikut-pengikutnya”.

Sebaik sahaja kafilah, Abu Abd al-Qais menghampiri Rasulullah dan tenteranya yang sedang singgah di ” Hamra’ al-Asad”, beliau pun terus menyampaikan kepada Rasulullah, perutusan Abu Sufian itu, dengan katanya: “Sebenarnya penduduk Makkah telah pun mengumpul seluruh tenaganya, maka hendaklah kamu berwaspada dengan mereka”, apa lagi, kaum muslimin pun semakin bertambah kental keimanan mereka”.

“Dan mereka menjawab :Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung. Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredhaan Allah. Dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar”.

(Al lmran: 173-174)

Rasulullah (s.a.w) bersama tentera Islam berkhemah di Hamra’ al-Asad setibanya dari Madinah pada hari Ahad, untuk selama 3 hari iaitu Isnin, Selasa dan Rabu, kira-kira tanggal 9 hingga 10 dan 11 Syawal tahun 3 Hijrah, setelah itu baginda pulang semula ke Madinah. Namun sebelum pulang baginda menahan Abu Azzah al-Jumahi, beliau adalah di antara tawanan Badar yang dibebaskan tanpa sebarang bayaran kerana kedhaifan beliau di samping ramai pula anak-anak perempuan dibawah tanggungan beliau. Setelah beliau berjanji untuk tidak melawan lagi, namun beliau telah mungkir janji, di mana beliau telah merangsangkan kaum musyrikin melalui syair-syairnya dan beliau sendiri pun turut bersama musyrikin menyertai perperangan Uhud, sebaik sahaja Rasulullah menahan, beliau sekali lagi berkata: Wahai Muhammad bebaskanlah aku, seperti dahulu, berilah kesempatan untuk ku menjaga anak-anak perempuan ku, dan aku berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan yang sama itu. Rasulullah menjawab: Aku tidak mahu bila kau pulang ke Makkah nanti kau akan menunjuk dengan jarimu ke dahi, dan berkata: Nah sekali lagi aku dapat menipu Muhammad, sebenarnya orang mukmin tidak dipagut oleh ular dua kali dari lubang yang sama. Kemudian baginda memerintah al-Zubair atau ‘Asim bin Thabit memancung lehernya.

Baginda juga menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang pengintip Makkah, beliau dikenali sebagai Muawiyah bin al-Mughirah Ibnu Abi Al-Aas, iaitu datuk kepada Abdul Malik bin Marwan sebelah ibunya, kisah bermula, apabila tentera,musyrikin pulang ke Makkah, maka Muawiyah ini datang menziarahi anak saudaranya Uthman bin Affan (r.a), beliau telah memohon perlindungan dari Uthman (r.a). dengan syarat tidak melebihi tiga hari.

 

Sekiranya beliau langgar syarat akan dibunuh namun setelah Madinah lengang dari tentera Islam, beliau terus tinggal di sana lebih dari tiga hari, dengan tugas mengintip bagi pihak Quraisy, setelah tentera Islam pulang, Muawiyah lari keluar secara senyap-senyap, justeru itu Rasulullah memerintah Zaid bin Harith dan Ammar bin Yasir memburunya, maka mereka berdua pun mengikuti jejaknya hingga bertemu dan di tempat itu juga beliau dibunuh.

Suatu hakikat yang tidak syak lagi bahawa peperangan Hamra’ al-Asad bukanlah satu peperangan yang berasingan, malah ianya merupakan sebahagian dari peperangan Uhud, malahan sambungan kepada peperangan Uhud dan siri terakhir dari keseluruhah peperangan Uhud berkenaan.

Sumber : الرحيق المختوم لصفي الرحمن المباركفوري، الشركة الجزائرية اللبنانية

Terjemahan Melayu Raheeq Makhtum

|Exco Pendidikan PMMM Sesi 2015/16|

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

To Top
Loading...