Ucapan

Istiadat Konvokesyen Kali ke-10

Ucapan khas dari wakil AMT saudara Meor Izzat bin Mohamad bersempena Majlis Istiadat Konvokesyen kali ke-10.

Semua mahasiswa dan mahasiwi dijemput hadir bagi memeriahkan lagi majlis ini.

Tarikh : 27 Julai 2017
Masa : 1.30 p.m – 5.00 p.m
Tempat : Dewan Universiti Mohamed V, Rabat

“Teman, jika boleh saya mahu sifatkan kejahilan ialah parasit-parasit yang merasuk. Kebanyakan kecelaruan dalam dunia timbul berpunca daripadanya. Dan, pendidikan ialah senjata paling ampuh, atau boleh jadi perisai paling teguh menentang lambakan pembodohan.

Hari ini kemiskinan, bebalisme, hedonisme dan namakan-apa saja-kecelaruan, tak kurang luas kongsi duduknya dengan kecukupan, intelektual, dan keamanan di atas kerusi dunia. Sejarah membuktikan kepada kita, ketamadunan berakar daripada ilmu dan projek pembijakan manusia, walaupun ia hanyalah sekelompok kecil daripada majoriti yang punya peranan masing-masing dalam komposisi masyarakat.

Kalian telah rela menempatkan diri dalam kelompok kecil ini. Kelompok yang membina peradaban (dan lebih penting mengekal dan membesarkannya). Kalian ialah pemegang pena bagi masyarakat yang buta. Telunjuk kalian tidak mewakili diri sendiri sahaja, bahkan dibawahnya ada orang-orang berteduh.

Maka amat patut sekali, ilmu kalian dijelmakan api yang membentuk masyarakat menjadi besi kukuh, bukan pula api yang menjilat kayu menjadi hangus. Kerana kemusnahan yang diberanakkan rahim orang bijak pandai yang curang dan khianat terhadap ilmunya, lebih dahsyat daripada kemusnahan yang berpunca daripada orang bodoh.

Ilmu datang dengan tanggungjawab yang tidak ringan, teman. Tetapi saya yakin pula, kalian orang yang kuat bagi mengampunya. Dan sebenarnya, sebaik-sebaik pembelajaran adalah yang tidak dibataskan dengan dinding-dinding kelas. Selamat bergraduasi, semuanya. Selamat belajar dari jalanan”.

To Top
Loading...