Artikel

Kenyataan Panas Donald Trump

Baru-baru ini, umat Islam menerima tamparan yang hebat sekali setelah calon Presiden Amerika Syarikat dari Parti Republikan, Donald Trump membuat kenyataannya agar umat Islam dihalang memasuki Amerika Syarikat yang bukan sahaja menyemarakkan reaksi tidak puas hati komuniti Islam di seluruh dunia, malah rakyat Amerika sendiri. Donald Trump ialah individu yang berpengaruh dan sedang berkempen untuk Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2016. Trump membuat kenyataan panas itu ekoran kejadian tembakan di California baru-baru ini yang melibatkan pasangan suami isteri yang dikaitkan dengan kumpulan militant IS.

Kenyataan yang dibuat oleh Donald Trump akhirnya dikecam sekeras-kerasnya oleh pelbagai pihak, salah seorang daripadanya  ialah Muhammad Ali, mantan juara tinju Heavyweight dunia telah menyeru umat Islam agar menolak sesiapa sahaja yang menggunakan Islam untuk agenda peribadi. Dalam kenyataannya, beliau menegaskan bahawa kenyataan tersebut tidak ditujukan kepada Trump semata-mata malah kepada semua calon presiden yang mencadangkan pengharaman kemasukan umat Islam ke Amerika Syarikat(AS).

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Google Inc Sundar Pichai juga bersuara. Dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman blog Medium, Pichai menyuarakan sokongan bukan sahaja untuk umat Islam, malah untuk golongan minoriti di AS dan di seluruh dunia. Beliau berpendapat kepelbagaian bangsa penting untuk kejayaan AS di masa hadapan.

Tambahan pula, jutawan Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal mahu Donald Trump menarik diri daripada pertandingan jawatan presiden Amerika Syarikat (AS). Dalam akaun Twitter rasminya, Putera Alwaleed menganggap Trump bukan sahaja memalukan Parti Republikan, bahkan seluruh AS.

Di samping itu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Muhammad Khalil Abdul Hadi juga turut mengambil bahagian mengecam Donald Trump dengan mengatakan kenyataan tersebut jelas berbaur hasutan, diskriminasi, prejudis, dan menimbulkan sentimen ketakutan terhadap umat Islam di Amerika Syarikat. Ini, katanya bukan kebebasan ekspresi atau bercakap, tetapi ia dilihat satu provokasi terhadap masyarakat muslim sedunia.

Kenyataan Trump itu mengundang kritikan daripada pesaing Trump dan White House yang mengecam gesaan Trump itu kerana ia dianggap “amat bertentangan” dengan nilai-nilai Amerika Syarikat.

Kesimpulannya, Allah SWT ada berfirman dalam  Surah Baqarah (2:109) :

وَدَّ كَثِيرٌ مِّنْ أَهْلِ آلكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُم مِّن بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِنْ عِندِ أَنفُسِهِم مِّن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ آلحَقُّ فَآعْفُواْ وآصْفَحُواْ حَتَّى يَأْتِىَ آللَّهُ بِأَمْرِهِ إِنَّ آللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: Banyak di antara ahli kitab menginginkan sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu setelah kamu beriman, menjadi kafir kembali, kerana rasa dengki dalam diri mereka. Maka maafkanlah dan berlapang dadalah, sampai Allah memberikan perintahNya. Sungguh, Allah Mahakuasa atas segala sesuatu.

Juga pada ayat 120 dalam Surah Baqarah (2:120) :

وَلَن تَرْضَى عَنكَ آليَهُودُ وَلَا آلنَّصَرَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى آللَّهِ هُوَ آلهُدَى وَلَئِنِ آتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ آلَّذِي جَاءَكَ مِنَ آلعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ آللَّهِ مِن وَلِىٍّ وَلَا نَصِير

Maksudnya: Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka. Katakanlah, “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)” Dan jika engkau mengikuti keinginan mereka setelah ilmu (kebenaran) sampai kepadamu, tidak akan ada bagimu pelindung dan penolong dari Allah.

 

Berdasarkan ayat Quran di atas, Allah menjelaskan bahawa orang kafir akan sentiasa melakukan apa sahaja cara agar dapat menarik umat Islam mengikuti  agama mereka. Jadi, kita sebagai  umat Islam hendaklah sentiasa memperkukuhkan keimanan kita agar tidak mudah terpengaruh dan dapat melindungi diri kita daripada ancaman musuh-musuh Islam.

Wallahu A’lam.

 


 

Rujukan :

 

|PMMM Cakna-Buletin|

To Top
Loading...