Aktiviti

KUNJUNGAN MESRA EDUCATION MALAYSIA EGYPT (EME) 2017

Sabtu, 14 Oktober 2017 : Seramai 76 orang mahasiswa telah menghadiri sebuah pertemuan yang telah diadakan antara pihak Education Malaysia Egypt (EME) dengan mahasiswa-mahasiswa Malaysia yang menuntut di Maghribi anjuran pihak Kedutaan Besar Malaysia di Maghribi dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Malaysia di Maghribi (PMMM) bertempat di Kediaman Rasmi Kedutaan di Rabat sempena lawatan kerja mereka di negara tersebut.

Encik Shahril Nizam bin Abdul Malek, Kuasa Usaha Sementara dalam ucapan beliau telah merumuskan hal berkaitan isu Kemasukan Mahasiswa Malaysia Baru di Maghribi bahawa akan diadakan lanjutan perbincangan dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi Maghribi bersama Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri pada 26 Oktober akan datang. Beliau juga turut mengalu-alukan kedatangan pegawai-pegawai Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia Kaherah ke bumi Maghribi. Seterusnya, Ustaz Ahmad Zakuan Md Khudzari, Pemangku Menteri Penasihat (Pendidikan) telah menerangkan pengenalan dan fungsi Education Malaysia Egypt (EME) dan juga membentangkan satu topik yang menarik di bawah tajuk ‘Kepimpinan Mahasiswa Menggunakan Kerangka Strategi Syeikh Wan Ahmad Al-Fathani’. Manakala Encik Ahmad Buhairi Nawawi, Setiausaha Kedua (Pendidikan) pula turut mendedahkan maklumat am pengajian tinggi di Malaysia. Sesi dialog antara para pegawai dan hadirin turut berlangsung terutama hal berkaitan urusan hal ehwal pelajar di Maghribi.

Di samping itu, sumbangan dana bagi ‘PA System’ oleh Kerajaan Negeri Selangor juga telah diserahkan semasa majlis berlangsung oleh wakil pegawai EME kepada wakil pelajar Badan Kebajikan Anak Negeri Selangor untuk kegunaan dan kemudahan seluruh anak Malaysia di Maghribi. Oleh itu, kami PMMM ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri Selangor atas sumbangan yang dihulurkan. Moga Allah sentiasa memberkati usaha murni kalian.

Pihak penganjur mengucapkan ribuan terima kasih diucapkan kepada semua hadirin yang hadir juga kepada semua pihak yang terlibat dalam majlis tersebut sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Terima kasih juga diucapkan kepada Education Malaysia Egypt atas kunjungan kalian di bumi Maghribi. Semoga pertemuan seperti ini dapat terus dijalankan pada masa akan datang.

Tarbiah – Cinta – Peduli

To Top
Loading...