Tazkirah

Maafkanlah [Bahagian 2]

Maafkanlah 2

-sambungan dari Bahagian 1-

Subhanallah, indahnya, mawarnya, cantiknya sifat mahmudah yang ditunjukkan. Marilah kita jadikan yang demikian itu suatu hadaman yang diaplikasikan dalam kehidupan kita. Lagi indahnya, apabila tangan kita menjadi ringan menadah, hati luas menghampar ikhlas mendoakan kepada mereka yang mensakiti, mencela, menzalimi, menaikkan darah kita. Moga Allah جل جلاله mengurniakan kepada kita kemurniaan sifat yang demikian.
“Memaafkan orang yang telah menyakitimu adalah salah satu cara terbaik untuk menjadi pemenang”
BUKAN CALON PENGHUNI RUMAH SAKIT JIWA
Langkah kita memaafkan orang lain termasuklah dalam erti ‘tolaklah kejahatan dengan kebaikan’ yang dituntut. Berilah maaf kerana manfaatnya besar untuk diri dan orang lain. Sebaliknya, tidak meletakkan kita sebagai calon penghuni rumah sakit jiwa!.
Jika kita tidak memaafkan orang lain, samalah dengan tidak memaafkan diri sendiri. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, ramai penghuni rumah sakit jiwa terdiri dari mereka yang bakhil. Bakhil harta?. Bukan! Tetapi kebanyakannya terlalu bakhil untuk memberi maaf.
Oleh itu jangan lokek untuk memberi maaf. Jika tidak, hidup kita akan sentiasa diselubungi stres, murung dan resah yang berkemungkinan berakhir dengan sakit jiwa. Tetapi! habis kurang pun, imbangan kehidupan seharian pasti terjejas kerana ada gumpulan hitam ketidakselesaan di sang hati yang berkeliaran menggangu kita.

Menurut pakar psikologi,kekusutan fikiran bukanlah disebabkan sakit urat saraf. Sebaliknya ia berpunca daripada emosi kehampaan, kekecewaan, kekhuatiran, kerisauan dan ketakutan akibat benci dan marah akan sesuatu, seseorang atau keadaan.
Penyakit ini tidak dapat diubati oleh sebarang pil, antibodi ataupun vaksin. Satu-satunya penawar adalah dengan memaafkan orang lain. Memberi maaf itu ialah terapi yang paling mujarab untuk jiwa yang marah, kecewa dan hasad.

“MAAF adalah kata sederhana yang bisa mengubah segala suasana. Tapi, jadilah pemberi maaf, bukan peminta maaf”
Plato pernah berkata : ”Kesalahan ahli perubatan ialah cuba mengubat tubuh badan tanpa mengubat fikiran. Sedangkan fikiran dan jasad ialah satu dan tidak harus dipisahkan dengan rawatan yang berasingan”.
Oleh yang demikian,sekiranya penyakit jiwa dan fikiran diubati terlebih dahulu maka penyakit lahiriyyah akan dapat dapat diubati dengan mudah. Siapa doktornya? Kita sendiri! Apakah ubatnya? Sikap pemaaf! .
Maafkanlah kesalahan orang lain sebelum hidup ini berakhir di sisi Tuhan yang Maha Berkuasa. Jangan simpan sekelumit kesalahan orang lain dalam ‘file’ sanubari kita.’Delete’ segera sebelum ia bertukar menjadi virus yang merosakkan kebahagian dan ketenangan kita di dunia dan akhirat.
Jangan lagi difikirkan lagi : ”Sepatutnya,dia tidak boleh buat begitu dan begini kepadaku”, sambil bermonolog sendirian dengan bertemankan keegoaan dalam menjauhkan sifat pemaaf dari dirinya. Selagi masih ada rasa tidak puas yang semacam itu, maka selagi itulah tidak akan ada rasa ingin memaafkan.
KITA BUKAN TUAN ATAU TUHAN
Bentaklah diri sendiri dengan berkata : “Siapa aku yang sepatutnya dilayan, dihormati dan dibelai mengikut jangkaan aku sendiri?” .
Kita bukan tuan, apalagi Tuhan dalam kehidupan ini. Kita hanya hamba Allah. Sebagai hamba Allah, kita tidak wajar menjangka akan mendapat segala yang kita ingini dan jangkakan dalam hidup ini. Jangkaan-jangkaan itulah yang sering menyebakan kekecewaan.

Dunia dan kehidupan tidak seperti yang kita jangkakan. Malang sekali, mereka yang sukar memaafkan akan terseksa sepanjang hidup. Hidup dalam kebencian, kemurungan dan rasa bosan yang berpanjangan.
‘Penyakit Jiwa’ ini hanya akan sembuh dengan memberi maaf. Oleh sebab itu, jangan menempah sakit jiwa dengan sering menjangkakan sesuatu yang tidak mampu dan tidak sepatutnya dijangka.
Sabaliknya,terima atau jangkalah sesuatu yang tidak dijangkakan. Lalu apabila sesuatu yang tidak dijangkakan berlaku, maka sikap memaafkan ialah penawar yang paling melegakan.
Apabila kita dilayan secara tidak wajar, katakan begini :”Oh sepatutnya begini, tetapi dia buat begitu. Tak apalah, aku maafkan.”
Percayalah, mereka yang sukar memberi maaf akan sentiasa kesal, menyesal dan kecewa atas kesalahan, kekurangan dan kelemahan orang lain. Semua orang tidak betul.
Ironinya, mereka tidak sedar mereka juga menyebabkan hal yang sama berlaku kepada orang lain. Bahkan, ada pepatah mengingatkan : ”Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih”. Orang yang sukar memberi maaf acap kali tidak sedar dialah yang sepatutnya meminta maaf !
MANFAAT – MUDARAT = BERI MAAF 
MANFAAT MEMBERI MAAF

 Mendapat keampunan Allah جل جلاله
 Mendapat pahala sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم
 Menikmati ketenangan diri
 Merapatkan Jemaah dan ukhuwah Islamiyyah
 Membina sinergi,meningkatkan produktiviti
 Melahirkan kelompok masyarakat harmoni

MUDARAT AKIBAT TIDAK MEMBERI MAAF
 Dimurkai Allah جل جلاله
 Jiwa sentiasa resah oleh sifat hasad, dendam dan marah
 Meruntuhkan persaudaraan dan perpaduan
 Murunkan produktiviti dan kualiti kerja buat
 Memporak-perandakan masyarakat
 Ketidaksapaan serta bermasam muka bila bertemu
MEMBERI MAAF VS MEMINTA MAAF
Memberi maaf ada kalanya lebih sukar daripada meminta maaf. Meminta maaf agak mudah kerana kita sudah ‘berasa’ atau ‘terasa’ bersalah. Sebaliknya, memberi maaf lebih sukar kerana kita berada di pihak atas landasan yang benar.
Apatah lagi jika kita berada di puncak kuasa, memberi maaf akan menjadi lebih sukar. Walaupun al-Quran dan hadis menganjurkan kita memberi maaf malah menjanjikan keutamaan memberi maaf, tetapi bukan mudah untuk mempraktikkannya. Moga Allah جل جلاله membimbing kita ke jambatan mahmudah tersebut.
Mengetahui kebaikan sikap memberi maaf agak mudah tetapi untuk merasai dan mempraktikkan sifat memberi maaf dalam realiti kehidupan jauh lebih mencabar. Benar, dengan ilmu sahaja tidak akan mampu menjadikan kita insan yang lebih baik, sekiranya ilmu tidak diimplementasikan dalam kerja buat kehidupan kita.
Apabila cuba dipraktikkan, barulah terasa pedinya. Itulah mujahadah. Bermujahadahlah dan latihlah diri untuk memberi maaf. Mungkin kali pertama terasa sangat berat, kali kedua lebih mudah dan lama-kelamaan akan menjadi tabiat yang manis di guna pakai dalam kehidupan. In sha Allah.
ِِ Untuk itu, ingatlah kebesaran Allah جل جلاله dan insaflah kelemahan diri sendiri, In sha Allah, pada saat itulah ego akan terhenyak, lalu kita mampu memaafkan walaupun berkuasa untuk membalas!

Kesimpulannya, sikap tidak memaafkan bererti diri masih dikuasai rasa ego, dipenuhi rasa marah dan sifat-sifat mazmumah yang lain. Hati yang demikian masih tipis imannya. Apabila iman tipis, itulah yang menyebakan diri sukar memaafkan.
“RABB ITU PENCIPTA,LUAS BUKAAN PINTU PEMAAFNYA, KITA INI HANYALAH HAMBA-NYA YANG DICIPTKAN, TAPI KECIL BUKAAN PINTU PEMAAFNYA”
Hati yang seperti ini sangat berbahaya. Hati ini bukan hati sejahtera. Padahal hati yang sejahtera itulah nilaian Allah جل جلاله di hari akhirat nanti. Seperti mana datang firman Allah جل جلاله yang berbunyi :
. يَوْمَِ لَِاِ يَِنفَعُِ مَِا لِ وَِلَاِ بَِنُونَِ إِ لَّاِ مَِنِْ أَِتَى اِللََِّّ بِ قَلْبٍِ سَِ ليمٍِ
Yang bermaksud : (Yaitu) hari di mana tidak berguna lagi harta dan anak-anak kecuali mereka yang datang menemui Allah dengan hati yang selamat (selamat dari kesyirikan dan kotoran-kotorannya). (Asy Syu’ara: 88,89)
Lalu, tunggu apa lagi? Besegeralah kita dalam memberi maaf. Maafkanlah kesalahan insan, agar dosa salah laku kita segera pula diampunkan oleh ar-Rahman. Lebur dan lunturkanlah sifat takabbur yang keras dek besi itu. Sifat itulah yang selama ini menghalang kita membuka pintu hati lalu berat menghulurkan dalam memberi maaf. Padahal usaha memberi maaf jauh lebih mudah berbanding peritnya hidup di dunia dan di akhirat tanpa mendapat keampunan Allah kerana sikap terlalu ego atau ‘bakhil’ memberi maaf. Tambahan pula, hidup dalam ruang lingkup bermasam muka, tabiat menunding jari, dendam kesumat dan kebahagian tergantung. Adakah dengan tidak memberi maaf itu menguntungkan diri?

“Memaafkan adalah ciri dari kerendahan hati. Dalam kerendahan hati, terdapat kebesaran jiwa dan keberserahan”

والله أعلم بالصواب

|PMMM ROHANI Artikel Ilmiah|

Disediakan oleh : MUHAMAD FIRDAUS BIN SUDIN |
Mahasiswa Tahun 2, Universiti Ibn Tofail, Kenitra

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

To Top
Loading...