Penaku Patah

Menulis, Perlu ke? Bukan ada orang baca pun.

Menulis, Perlu ke? Bukan ada orang baca pun.

 

Salam semua. Siapa setuju kalau saya kata kita kena menulis untuk hidup? Kan ada dalam kemahiran wajib 3M: Membaca, Menulis, Mengira. Siapa pula yang kata kita tak perlu untuk menulis, boleh jela cari makan guna jalan lain. Penting sangat ke menulis ni? Bukan ada siapa baca pun, kan?

Haaa, kalau nak tahu, saya sendiri bercita-cita untuk menjadi penulis. Sedari kecil, saya suka membaca karya-karya dari penulis yang hebat, yang dapat menyentuh hati dan benak saya. Maka, saya mula berangan-angan untuk menjadi penulis yang hebat seperti mereka, yang dapat sentuh hati para pembaca dengan tulisan saya yang tersendiri.

Tapi bila umur saya menjengah dewasa, kadang-kadang saya mendapati kesukaran untuk diri saya mula menulis. Maka saya sering bertanya kepada diri sendiri, “Kenapa saya nak menulis? Kenapa perlu saya menulis? Dan kenapa saya pernah menulis sebelum ini?”

Jawapan 1:

Jawapan yang kuat hadir di dalam hidup saya ketika saya sedang dalam tahun kedua Ijazah Pengajian Islam, di Universiti Hassan Thani, Mohammedia, Maghribi.

Sebagai pelajar tahun dua, walaupun saya tidak dapat memahami kesemua patah perkataan yang diajar oleh pensyarah berbahasa Arab itu, namun pesannya yang satu ini sangat saya pegang dan simpan di dalam hati saya sehingga kini.

Ketika itu pensyarah saya sedang mengajar subjek Ilmu Perpustakaan dan Metodologi Kajian Ilmiah. Tiba-tiba di pertengahan syarahannya, beliau berpesan agar kesemua anak muridnya sentiasa membawa sebatang pen dan kertas ke mana-mana.

Beliau juga menegaskan pesanannya dengan menjanjikan bahawa kita akan berjaya mendapatkan pelbagai ilmu di mana sahaja dalam waktu yang singkat, kalau kita melazimi tabiat sedemikian.

Sejak dari saya mendengar pesanan itu, (mungkin kerana hanya itu jugalah pesanan yang saya betul-betul faham dan dapat ketika berada di dalam kelasnya), setiap hari saya cuba melaksanakan pesanan itu. Saya cuba, walau saya ke mana-mana, pasti akan saya bawa sebuah buku nota kecil atau beberapa helai kertas kecil yang telah saya potong saiznya siap-siap dan sebatang pen.

Sedar tak sedar, akhirnya perbuatan saya itu menjadi tabiat sehingga kini. Sudah berapa banyak buku nota kecil telah saya isi dan saya habiskan dengan ilmu, buah fikiran, idea baru, dan senarai tugasan harian saya. Sudah berapa banyak kertas kitar semula juga telah saya isikan dengan dakwat pen. Dan sudah berapa banyak juga pen yang telah saya habiskan dakwatnya dengan puas hati lalu saya terpaksa membeli baru. Alhamdulillah. 🙂

Jawapan 2:

Di situasi lain pula, ketika saya sedang di dalam kelas Sarjana saya, ditakdirkan saya mendapat pensyarah yang sangat menitikberatkan amalan menulis ini. Beliau sangat tegas dengan perkara ini sehingga beliau mewajibkan setiap pelajarnya menghantar laporan (taqrir) tentang setiap apa sahaja yang disebutnya di dalam kelas.

Tak kisahlah sekiranya beliau mengajar tidak ikut susunan silibus (yang itu pun dicipta olehnya), para pelajar tetap perlu berfikir dan menyusunnya sendiri agar satu laporan yang tersusun dapat disiapkan dan dihantar pada penghujung semester.

Pernah suatu ketika, rakan saya mengomel berseorangan di sebelah saya sambil merungut, “Bukankah beliau sudah ajar perkara ini minggu lepas, dan beliau telah ulang perkara ini banyak kali, kenapa kita masih perlu menulis benda yang sama?”

Malang baginya, pensyarah saya tetap mendengar apa yang dikatakan kerana derianya yang sangat menakjubkan, lalu beliau meninggikan suara di dalam kelas yang sunyi itu dan berkata:

“Kamu tahu kenapa aku tetap suruh kamu menulis, walau aku tahu aku sedang mengulang perkara yang sama? Kerana kamu akan LUPA juga apa yang aku ajar ini minggu depan. Dan ilmu itu akan HILANG begitu saja kalau kamu lupa dan tak tulis berulang kali. Dengan menulis, ilmu dan idea-idea ini akan KEKAL, kalau bukan dalam ingatan, setidaknya di atas kertas. Malah idea yang mengalir dalam kelas ini ketika aku mengajar kamu takkan sama dengan idea yang mengalir ketika kamu di luar kelas. Aku sendiri, walau sudah bergelar pensyarah dan umurku sudah sangat tua, kamu lihat aku masih menulis pelajaranku ketika aku mendengar ceramah rakan-rakan pensyarahku yang lain…”

Lalu beliau menunjukkan bukti-bukti catitan tangannya ketika kami sama-sama menghadiri nadwah sebelum itu. Satu kelas terdiam. Saya menjadi lebih bersemangat untuk terus memegang pen dan mencatit apa sahaja. Alhamdulillah. 🙂

. . . . .

Itu cerita pengalaman saya. Meninjau kepada tabiat orang lain, saat saya sudah berada pada bulan-bulan akhir saya di Maghribi, juga saat saya pulang ke tanah air tercinta di Malaysia, saban hari saya melihat generasi muda kini kurang mengamalkan tabiat menulis ini. Saya tidak menyalahkan mereka sekiranya mereka memilih untuk menulis di dalam ‘smartphone‘ mereka. Namun, apa yang saya kesalkan adalah; mereka yang langsung tidak mahu menulis ketika mendengar apa sahaja ucapan.

Kita tidak pernah tahu, ucapan yang mana satukah yang akan mengetuk pintu hati kita. Kita juga tidak pernah tahu, ucapan yang manakah yang sebenarnya diutuskan dan diucapkan khas kepada kita (hakikatnya). Dan yang manakah yang sebenarnya akan membantu kita di masa hadapan.

Siapa tahu, orang yang kita temukan secara tiba-tiba, yang memberi nasihat secara rawak kepada kita itulah kunci bagi menyelesaikan segala masalah kita. Siapa tahu, ucapan yang kita lalukan sahaja di telinga kita tanpa ada rasa ingin mencatitnya itulah sebenarnya apa yang kita perlu dan cari selama ini.

Manusia seringkali membiarkan peluang keemasan yang ada di depan mata, terlepas begitu sahaja. Insan-insan yang ditemukan, yang sebenarnya mungkin diutuskan untuk memberi peringatan kepada kita, dibiarkan, dan tidak dihargai kewujudannya di sisi hidup kita.

. . . . .

Jawapan 3:

Menulis adalah salah satu cara bagi mengekalkan sesuatu di dalam ingatan. Menulis juga adalah salah satu cara menyampaikan penghargaan dan rasa yang ingin kita zahirkan tetapi tidak kesampaian melalui ucapan mahupun perbuatan. Dengan menulis juga, kita dapat berhubung dengan manusia atau insan yang hidup jauh beribu batu dari kita. Ini bermakna, menulis sebenarnya adalah salah satu cara bentuk komunikasi. Yang paling hebat adalah, ianya adalah satu komunikasi yang dapat memastikan apa yang kita lalui hari ini kekal untuk diceritakan kepada generasi akan datang.

Tulisan yang kekal itu adalah bukti satu kehidupan, yang menandakan kewujudan kita. Ini kerana tulisan itulah antara salah satu perkara yang akan tinggal walau jasad kita telah tertanam sepi jauh ke dalam tanah dan dilupakan.

Cuba renungkan segala kitab dan buku yang tersusun cantik dan kemas di rak-rak rumah kita. Apakah buku-buku dan kitab-kitab yang tersusun itu dapat dihasilkan sekiranya tiada usaha menulis dilakukan oleh para penulis tersebut? Dan adakah buku-buku itu boleh terhasil sekiranya penulisnya itu tidak melalui proses berfikir, menyusun dan menulis dengan bersungguh-sungguh ideanya terlebih dahulu?  Malah dua sumber utama kita, Al-Quran dan Hadis, masakan dapat kita membacanya sekiranya ayat-ayat itu tidak dikumpul, ditulis dan dibukukan terlebih dahulu.

Menulis adalah salah satu cara untuk mengekalkan ilmu-ilmu yang kita ada, dapat dan perolehi pada hari ini supaya dapat kita sampaikan kepada generasi yang akan datang, yang tidak pernah tahu tentang kewujudan ilmu-ilmu ini.

Sekiranya kita berhenti menulis, dan hanya mengharapkan tulisan dari buku-buku terdahulu untuk kekal, saya ingin bertanya, sekiranya berlaku lagi aktiviti-aktiviti penjajah seperti pembakaran buku besar-besaran dan pembuangan kitab-kitab ilmiah ke dalam sungai pada zaman Moghul, apakah kita hanya akan duduk diam bersahaja melihat ilmu-ilmu itu hilang dalam sekelip mata?

Jawapan 4:

Jom sama-sama renungkan kata-kata Imam At-Taji As-Subki ini dalam kitab Fathul Mughits bi Syarhi Alfiatil Hadis Lil ‘Iraqi (فتح المغيث بشرح الفية الحديث للعراقي) karangan Imam Abdul Rahman As-Sakhawi (أبو عبد الله محمد بن عبد الرحمن السخاوي):

“العالم وإن امتد باعه، واشتد في ميادين الجدال دفاعه، واستد ساعده حتى خرق به كل سد سد بابه، وأحكم امتناعه، فنفعه قاصر على مدة حياته، ما لم يصنف كتابا يخلد بعده، أو يورق علما ينقله عنه تلميذ إذا وجد الناس فقده، أو تهتدي به فئة مات عنها وقد ألبسها به الرشاد برده، ولعمري إن التصنيف لأرفعها مكانا; لأنه أطولها زمانا، وأدومها إذا مات أحيانا.

ولذلك لا يخلو لنا وقت يمر بنا خاليا عن التصنيف، ولا يخلو لنا زمن إلا وقد تقلد عقده جواهر التأليف، ولا يخلو علينا الدهر ساعة فراغ إلا ونعمل فيها القلم بالترتيب والترصيف.”

Yang bermaksud:

“Seorang alim itu walau luas pengaruhnya, dan sangat hebat kekuatannya dalam bidang perdebatan, dan sentiasa berpegang kepada kebenaran sehingga setiap halangan yang menghalangnya menjadi musnah, serta bijak dalam menghukum;  maka manfaatnya itu hanya terbatas mengikut jangka hayatnya sahaja, SELAGI MANA DIA BELUM MENULIS SATU BUKU YANG MANA AKAN KEKAL SELEPAS KEMATIANNYA, atau menyediakan ilmu yang diwarisi oleh pelajar daripadanya/ disampaikan kepada pelajar apabila orang-orang mendapati ketiadaannya, atau sampai kepada sekelompok manusia dengan sebab beliau, dan ilmu itu akan memberi petunjuk.

Dan aku bersumpah, sesungguhnya menulis itu adalah setinggi-setinggi pekerjaan, kerana masa kekalnya sangat panjang, dan ia kekal ada selepas kematian.

Oleh itu, JANGANLAH KITA BIARKAN MASA KITA BERLALU DENGAN TIDAK MENULIS APA PUN, dan gunakanlah masa itu untuk sentiasa mengutip permata-permata untuk menulis, dan janganlah kita biarkan masa itu pergi kecuali kita betul-betul mengisinya dengan pen yang menyusun (kata-kata).”

Begitulah besarnya harga sebuah penulisan bagi ulama’ dahulu yang betul-betul memahami dan menghayati erti sebuah dakwah dan penyampaian ilmu melalui penulisan. Kerana mereka mengerti, mereka juga adalah manusia biasa yang akan ditarik nyawanya, maka ilmu-ilmu yang telah mereka pelajari dan ajari itu perlu dikekalkan, biar sehingga sampai ke generasi seperti kita hari ini.

Jawapan 5:

Di akhir perenggan ini, sukalah saya untuk menutup artikel ini dengan sebuah hadis Nabi SAW yang sangat masyhur, namun maknanya perlu lebih didalami bagi setiap yang bergelar muslim, tidak lain tidak bukan hadis yang berbunyi:

قوله صلى الله عليه وسلم: (إذا مات الإنسان انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية، أو علم ينتفع به، أو ولد صالح يدعو له) .

Yang bermaksud:

Sabda Nabi SAW : “Apabila mati seorang insan itu terpotong segala amalnya kecuali tiga perkara: Sedekah Jariah, atau Ilmu yang dimanfaatkan darinya, atau anak soleh yang mendoakannya.”

. . . . .

Haa, dah dapat ke jawapan perlu ke tak menulis ni?

Perlu kan. Jadi, jom sama-sama teruskan menulis!

Biar sampai siap bahas itu, ayuh! 😉

Waffaqakumullah.

Yang masih lagi belajar menulis:

Husna Saifulzaman,

Alumni Mahasiswa Malaysia di Maghribi,

2013-2018.

To Top
Loading...