Penaku Patah

Menyelongkar dalam kelam

Menyelongkar dalam kelam.

 

Dalam mencari diri, aku terjumpa sesuatu yang aku harap, aku tidak seperti itu. Maka waktu itu aku terjumpa kata-kata ini, ” Kau punya dua peluang, menjadi seseorang yang membahagiakan manusia, tidak diri kau, atau menjadi seseorang yang dibanggakan manusia tapi kau terpendam duka..”

Kehidupan menemukan aku dengan sesuatu yang amat menakutkan, menyeramkan namun ia tidak mampu menggagalkan aku untuk menghadapinya. Walau sedaya upaya aku mengelaknya, aku tetap berdepan dengannya.

Kehidupan juga menemukan aku dengan keraguan dan ketidakpastian yang menyebabkan aku terpaksa mengambil sesuatu keputusan. Lebih menakutkan, aku harus bertanggungjawab dengan setiap keputusan yang diambil. Jika keputusan itu natijahnya baik, aku bernasib baik. Jika ianya buruk, maka nasib tidak menyebelahiku.

Maka, di dalam meniti perjalanan mencari diri, aku dituntut oleh ruang dan peluang untuk aku menjadi sohibul qoror (pembuat keputusan). Aku sudah tidak boleh mengikut-ikut seperti selalu. Bagai menurut angin yang menghembus. Jika angin itu dari timur, ke baratlah aku. Jika angin itu dari utara, maka ke selatanlah. Aku tidak boleh menjadi seperti lembu yang redha menurut perintah tuannya. Bila waktunya harus tidur, bila masanya harus makan, bila ketikanya harus menyusu. Malah aku harus ingat aku bukan binatang, aku manusia.

Benar aku masih lagi merangkak mencari jejak dalam mengisbatkan tapakku di dunia yang mengelirukan ini. Aku masih terkapai-kapai dalam samudera kekeliruan yang menyukarkan aku mencari di mana dermaga untuk aku labuhkan segala yang menyusutkanku.

Aku sedar, makhluk yang bernama manusia itu sifatnya mahu mencari. Walau dia sendiri tidak mengetahui apa yang dicari sebenarnya. Atau mungkin dia sudah tahu, namun dia cuba mencari pelbagai justifikasi untuk dia ‘lari’ dari jalannya kerana jiwanya tidak muyul (cenderung) ke arah itu. Dia mungkin sudah sedar, benda itu sudah di depan kedua matanya (ada yang empat matanya), namun seupaya dia menyelimutinya dengan alasan-alasan, filosofi-filosofi rekaannya, untuk hati kecilnya paling tidak menuruti juga perasaan kelirunya, agar sama-sama tenggelam, hidup (mati) tiada tujuan.

Manusia itu wujud, benar, kerana ia mampu berkontemplasi. Kata Descartes ‘aku berfikir maka aku wujud’ cogito ergo sum. Ia juga membuktikan manusia itu punya akal, tidak seperti haiwan. Juga manusia itu punya tujuan hidupnya, walau dia tidak punya agama sekalipun, dia tetap ada tujuan dan matlamat yang ingin dicapainya. Fundamentalnya, setiap manusia itu sedar akan kewujudannya, dan sedar akan erti hidupnya.

Waktu ini aku teringat kata Heidegger, setiap manusia itu punya dua kewujudan, majazi dan hakiki. Adapun yang majazi seperti aku yang sudah dua puluh tahun lebih hidup seperti tertera di kad pengenalanku. Kewujudan yang hidup di dalam dua masyarakat, Malaysia dan Maghribi.

Kewujudan yang hakiki itu adalah yang mampu mencapai tamadun, yang hebat mencipta inovasi-inovasi yang produktif, yang hidup bukan sekadar hidup, namun hidupnya menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat sekelilingnya.

Bertuah sungguh bagi mereka yang yang mempunyai kedua-dua kewujudan ini. Kerana waktu ini mereka telah memacakkan percu bahawa mereka bukan sahaja insan, tetapi insaniyyah (kemanusiaan). Kemanusiaan yang mana dimaksudkan Franz Fanon sebagai masyarakat yang mempunyai segala kebaharuan di dalam diri, jasad, zat serta akal fikir yang mampu mencipta segala sesuatu yang produktif bukan sahaja untuk dirinya juga masyarakatnya.

Walau bagaimanapun, di dalam relung pencarian yang menyukarkan lagi penyelongkaran ini, aku malah menjumpai samar ketika mencari diri. Atau lebih tepat, lebih jauh aku menyelongkar, lebih susah untuk aku menjumpai diri aku yang sebenarnya.

 

Jeda.

Tiada apa yang bisa diselongkar sekiranya aku di kosmos kelam, menggelapkan harapan dan impian.

Aku cuba mengikuti ruang dan waktu, menerobos batu-bata kehidupanku walau aku sendiri menjustifikasikan hipokrasi diri membenarkan segala penipuan. Walau ada ketika aku sendiri yang mensia-siakan peluang yang hadir bukan sahaja di depan mataku, malah di depan jasad aku sendiri.

Aku cuba mencari suluhan An-Nur, untuk kembali kepada diri aku sendiri, kembali kepada zat manusia, manusia yang sebenar-benar manusia. Aku cuba memperhalusi gerak-geri akal, yang bukan sahaja pintar melontarkan persoalan-persoalan, malah bijak mencari jawapannya. Jawapan yang benar-benar menjawab kekeliruan.

Aku mengetahui, sekiranya aku mampu membuktikan kewujudanku dan berjaya mengetahui (idrak) erti dan tujuan hidupku sendiri, aku mampu menyerahkan segala kekusutan ini kepada ontologi aku (keimanan).

Aku sedar, kontemplasi itu adalah jalan yang terbaik, aku cuma harus sabar dan terus bersabar, walau sudah beberapa jiwa yang sakit kerana kontemplasiku ini. Sekiranya aku mengimani bahawa pencarian ini adalah sesuatu proses ibtila’ (ujian) dari tuhan, aku masih punya peluang walau seperca untuk gembira. Juga menggembirakan orang lain.

Kata Salman Al Audah hidup sekiranya tidak ada tujuan walau seperca, seperti hidup di dalam penjara yang besar. Aku tidak pasti, aku sekarang di dalam penjara dan cuba mencari jalan keluar (tujuan hidup), atau aku masih lagi dalam usaha untuk membuktikan kewujudanku.

Namun, aku yakin, hikmah itu hadir di dalam pencarian. Walau pada permulaannya kita tidak tahu apa yang kita cari sebenarnya.

 

Tamat.

       -Yed Lek Lau

To Top
Loading...