Karya Siswa

Michael H. Hart

WhatsApp Image 2020-02-11 at 10.07.32 AM

Michael H. Hart

Oleh: Amirah Nasir

 

Maka kita lihat betapa monumen-monumen akal dan pembelajaran jauh

lebih bertahan daripada monumen-monumen kekuatan atau karya tangan.

Kerana bukankah bait-bait Homer bertahan dua ribu lima ratus tahun atau lebih, tanpa kehilangan satu patah kata atau huruf pun?

Dalam kurun waktu itu tak terkira banyaknya istana, kuil, benteng, atau kota yang telah membusuk dan hancur ?

 

Memandagkan cuti musim sejuk sudahpun tiba, saya merancang-rancang untuk membaca bahan yang saya kira sedikit luar dari bidang Pengajian Islam dan berhasil menemukan sebuah buku yang kelihatan tebal di rak salah seorang ahli rumah. Pada  asalnya, saya tidak berhajat untuk meneruskan pembacaan buku ini. Namun untaian kata hikmah di atas yang tertulis di halaman pertama, benar-benar membuatkan mata saya kekal setia membaca setiap patah kalimah yang ditulis Michael H. Hart di dalam bukunya ‘100 Tokoh Paling Berpengaruh’ di dunia. Sejujurnya, sebelum saya menemukan buku ini lagi telah maklum pada pengetahuan saya akan kontroversi dan kritikan-kritikan yang menghujaninya. Namun saya tidak ingin menjadi hakim yang mengadili tanpa terlebih dahulu membedah isi-isi dan maksud yang cuba disampaikan oleh penulis pada perkataan “pengaruh”. Maka, pada penulisan kali ini, saya sekadar ingin berkongsi kepada para pembaca akan keistimewaannya, khulasah ringkas daripada rangkuman maklumat yang telah saya peroleh, serta bagaimana mungkin tokoh sekian mengungguli carta teratas mengatasi tokoh-tokoh yang memang sedia dikenali namanya dalam sejarah dunia.

 

Sebagai muqaddimah, Michael H. Hart menceritakan bagaimana bangkangan beliau terhadap Voltaire dan orang-orang Inggeris sezamannya yang mengatakan bahawa Sir Isaac Newton adalah manusia yang paling hebat sepanjang masa; mencetuskan idea penghasilan buku yang unik ini. Dalam kesempatan itu, penulis juga menerangkan manhaj beliau dalam mengukur kelayakan seseorang untuk menempati daftar 100 tokoh paling berpengaruh di dunia, di mana beliau menekankan bahawa daftar tersebut hanya seputar tokoh-tokoh yang berpengaruh dalam sejarah, bukan yang terbesar. Sebagai contoh, apabila mengamati daftar nama, saya mendapati  bahawa penulis memberi ruang kepada  orang-orang yang sangat berpengaruh, jahat dan tidak berperasaan seperti Stalin. Tetapi tidak pula menyenaraikan orang suci seperti Bunda Cabrini. Hal ini kerana, saya percaya penulis hanya berminat untuk berbicara tentang siapakah 100 tokoh yang memberikan impak terbesar dalam sejarah dan perjalanan dunia. Kelompok orang-orang istimewa ini, baik yang berwatak antagonis mahupun protagonis, terkenal atau hanya di belakang layar, flamboyan atau bersahaja, pastinya telah menimbulkan kekaguman dan layak untuk didiskusikan atas dasar merekalah orang-orang yang membentuk hidup kita dan mengukir dunia dengan izin Tuhan yang Esa.

 

Seterusnya di bahagian perkembangan cerita, tatkala membelek helaian demi helaian, saya  merasakan bahawa pola susunan daftar nama tokoh yang telah diputuskan oleh penulis adalah sesuatu perkara yang penting untuk saya perincikan. Pada sepuluh tangga yang teratas, saya menemukan bahawa secara amnya carta nama ini telah berhasil ditakluki oleh nama-nama besar agamawan dan pemimpin politik yang telah berjaya meluaskan pengaruh mereka. Pengaruh tersebut sama ada menerusi agama Ilahi mahupun agama ardhi. Sebagai contoh Nabi Isa AS, Buddha, Konfusius, Ts’ai Lun, Nabi Muhammad SAW dan Santo Paulus. Lebih menarik lagi, sungguhpun tokoh-tokoh yang telah disebut ini tidak berkongsi ciri-ciri persamaan pada watak luaran, peribadi mahupun jalan cerita hidup, namun satu titik yang menemukan mereka semua adalah pengaruh yang ditinggalkan mereka masih sahaja berterusan sehingga ke hari ini. Hal ini dibuktikan dengan bilangan pengikut mereka yang tidak pernah mengenal surut meski berganti zaman. Malahan segala prinsip dan idea yang diterapkan terus diamalkan oleh penganutnya. Kemudian, disebabkan Michael sendiri merupakan ahli sains barat, maka tidak peliklah daftar nama selanjutnya diisi dengan para inventor barat, ahli fizik, ahli kimia, ahli matematik, ahli falsafah dan para sasterawan. Mereka telah menggunakan bakat mereka sebaiknya dalam menyelesaikan masalah masyarakat dunia serta melakukan penemuan-penemuan menakjubkan, secara langsung mengevolusi dunia dari satu tahap ke tahap yang lain. Sambil menghabiskan bahagian yang berbaki, terkadang saya tersenyum sendirian memikirkan hal-hal aneh yang saya baca. Antaranya Francisco Pizarro sang petualang yang menundukkan kerajaan Inca, Peru hanyalah seorang manusia buta huruf. Juga Johan Gutternberg yang tidak pernah mencetak namanya sendiri pada mana-mana buku cetakannya hatta Injil Gutternberg, meskipun tidak syak lagi beliau ialah orang pertama yang menemukan kaedah pencetakan moden. Atau The Wright Brothers yang tidak pernah menerima pendidikan formal selepas sekolah menengah atas. Akan tetapi dengan bakat mekanikal kurniaan tuhan serta pengalaman mengendalikan pesawat luncur, The Wright Brothers berjaya menghasilkan sebuah kapal terbang yang sempurna.

 

Sebelum menutup kalam, saya tinggalkan satu persoalan besar yang harus dijawab oleh pembaca iaitu bagaimana dan mengapa seorang ahli akademik barat seperti Michael H. Hart tidak teragak-agak untuk mengiktiraf kehebatan Nabi Muhammad SAW dengan memposisikan baginda di tangga teratas senarai tokoh paling berpengaruh di dunia. Saya yakin pencarian jawapan kepada soalan yang satu ini cukup untuk menarik kalian kepada buku ini dan mula membacanya. Namun, sebagai peringatan bahawa kita membaca dengan kaca mata muslim, sekiranya terdapat percanggahan maklumat terutamanya yang melibatkan tokoh Islam seperti Nabi Muhammad SAW dan Nabi Isa AS, pembaca haruslah lebih bijak dalam menthabitkan ketepatannya dan mengukur maklumat yang diperoleh menggunakan neraca akal dan ilmu yang telah dipelajari. Harapan saya agar suatu hari nanti kita mampu menghasilkan karya seperti ini, tetapi memfokuskan kepada tokoh-tokoh Islam yang makin dilupakan oleh umat Islam sendiri. Akhir kata,terima kasih kerana sudi membaca review ini dan selamat bercinta dengan buku!.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

To Top
Loading...