ISTIADAT konvokesyen saban tahun diadakan oleh Persatuan Mahasiswa Malaysia di Maghribi (PMMM) bagi meraikan penuntut mereka dari Malaysia yang berjaya menamatkan pelbagai peringkat pengajian seperti ijazah, sarjana dan PhD di negara tersebut.

Konvokesyen kali ke-10 itu diadakan di Dewan Mohamed V, Ibn Ruchd, Irfan, Rabat, Maghribi. Perjalanannya sempurna dan meriah. Ia dirancang bagi menyuntik motivasi kepada mahasiswa yang masih berada dalam tempoh pengajian di sana.

Seramai 21 graduan Malaysia diraikan pada majlis itu yang bertemakan Mahasiswa Penentu Masa Hadapan Negara. Duta Besar Malaysia ke Maghribi, Datuk Jamal Hasan menyerahkan sijil penghargaan kepada penerima.

Sementara itu, Presiden PMMM, Ahmad Haiqal Fitri Ahmad Fuad, berkata program seperti ini memberikan kenangan terindah kepada graduan terbabit atas usaha gigih mereka untuk mencapai kejayaan dalam bidang pengajian yang diambil.

Anugerah mahasiswa turut diberikan kepada graduan. Penerima Anugerah Ibnu Arabi (Penuntut Terbaik Lelaki), Suhaib Mohamad Nafis menghargai usaha PMMM yang meraikan kejayaan beliau dan rakan-rakan Malaysia.

“Saya tidak menyangka akan mendapat anugerah ini kerana sedar, ramai lagi lebih hebat dari aspek akademik dan juga lainnya. Cuma saya harapkan agar ia dapat menjadikan siswa lain dan juga diri sendiri untuk terus berusaha buat yang terbaik dalam apa jua dilakukan dalam hidup ini,” katanya.

Graduan yang juga penerima Anugerah Ibnu Ajurrum (Penuntut Terbaik Wanita), Nurul Afiqah Mohamad Kamal, turut meluah kegembiraan meraikan hari bermakna bersama graduan Malaysia dan dari negara-negara timur tengah yang menuntut di universiti itu.

“Dengan adanya majlis sebegini, dapat berkumpul dan mengerat hubungan. Syabas dan tahniah kepada persatuan dan unit terlibat bagi menjayakan konvokesyen ini. Terima kasih atas anugerah diberikan walaupun pada dasarnya, masih banyak ilmu perlu dicari dan kekurangan perlu diperbaiki,” katanya.