Aktiviti

Perutusan Presiden PMMM sempena Aidilfitri 1437H

بسم الله الرحمن الرحيم،

الله اكبر الله اكبر الله اكبر ولله الحمد.

 

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dgn izinNya kita dapat menikmati anugerah Ramadhan daripada titik permulaan sehingga ke garisan penamat. Diharapkan agar Ramadhan kali ini menghasilkan natijah yang baik sekaligus meletakkan kita dalam kalangan orang yg bertaqwa.

Pencapaian setelah sebulan berpuasa dan keikhlasan untuk berlumba dalam mengerjakan ibadah bakal diukur pada bulan-bulan mendatang. Adakah kita benar-benar hamba yang bertaqwa atau cuma meletakkan diri sebagai hamba Ramadhan? Sama ada kita sempat atau tidak untuk bertemu dgn Ramadhan seterusnya, itu bukan terkandung dalam ilmu kita bahkan cuma Allah sahaja lah yang Maha Mengetahui. Kita sebagai hambaNya perlu meneruskan doa dengan penuh rasa rendah diri agar dipanjangkan umur sekaligus diberi peluang untuk memperbanyakkan amal ibadah dan amal kebajikan.

Eid fitri yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia semestinya memberi pengertian yang cukup besar buat kita. Di saat kita bergembira dengan pakaian serba baru, menikmati aneka juadah dan sebagainya, jangan sekali-kali kita lupakan saudara seaqidah kita yang dihentam teruk oleh musuh-musuh Islam khususnya di Palestin, Syria, Rohingya, Turkey dan lain-lain. Dunia hari ini menyaksikan kezaliman terus berkuasa tanpa belas kasihan, umat Islam diganyang tanpa kita sedar, diserang tanpa keadilan sewajarnya. Moga Ramadhan yang mendidik kita untuk bermujahadah memberi kesan yang mendalam buat kita sekaligus mengajar kita untuk terus beristiqamah membantu saudara-saudara kita secara lahiriah dan batiniah. Nasib umat dan agama Islam perlu dibela sewajarnya memandangkan ia merupakan satu-satunya agama yang diterima oleh Allah SWT.

Berbekalkan jati diri dan taqwa, kita harus meletakkan diri sebagai umat Islam yang memperjuangkan prinsip kebenaran. Keinginan untuk melihat Islam tertegak teguh di dalam negara kita seharusnya menjadi impian buat seluruh umat Islam. Keindahan Islam sebagai cara hidup perlu dinikmati bersama tidak mengira bangsa dan kaum. Umat Islam yang bersifat dominan di Malaysia seharusnya menonjolkan akhlak yang baik bagi diteladani oleh masyarakat yang bersifat majmuk. Acap kali diulang, hendak bangunkan sebuah negara Islam, perlu bangunkan Islam dalam diri individu terlebih dahulu. Moga Ramadhan kali ini mendidik kita untuk menghayati agama Islam secara benar dan telus.

Moga tema Ramadhan yang diangkat pada sesi kali ini iaitu “Ramadhan dihayati, peribadi dibaiki” diberi tumpuan sepenuhnya untuk dimaknai oleh warga PMMM khususnya. Akhir kata, saya mewakili warga Persatuan Mahasiswa Malaysia di Maghribi (PMMM) mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1437H buat seluruh umat Islam di seantero dunia. Moga sambutan kali ini tersimpan 1001 makna setelah menempuh tarbiah Ramadhan dan memaknai erti sebenar taqwa.

 

[AHMAD IRFAN BIN MOHD YUSOB]
PRESIDEN PMMM SESI 2016/17

ENSIKLOPEDIK-ITTIHADIK-KARISMATIK

To Top
Loading...