Artikel

Rabi’ul Awal; Sejarah & Kepentingannya

بسم الله اللرحمن الرحيم

Bulan Rabi’ul Awal bermaksud bulan di mana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabi’ul Awal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah. Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka.

Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW telah mengekalkan nama Rabi’ul Awal ini sehinggalah sekarang. Bulan ketiga dalam kalendar Hijrah ini membawa satu peristiwa besar yang menjadi ingatan kepada seluruh umat manusia. Perayaan Maulid Nabi  pertama kali diperkenalkan oleh Abu Said al-Qakburi, seorang gabenor Irbil, di Irak pada masa pemerintahan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi (1138-1193).

Ada yang berpendapat bahawa pendapat itu sendiri berasal dari Sultan Salahuddin. Tujuannya adalah untuk membangkitkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW, serta meningkatkan semangat juang kaum muslimin saat itu, yang sedang terlibat dalam Perang Salib melawan pasukan Kristen Eropa dalam usaha merebut kota Jerusalem.

 

PERISTIWA – PERISTIWA PENTING DI BULAN RABIUL AWWAL

Bulan Rabi’ul Awal, bulan ketiga dalam kalendar Hijrah ini tercatat pelbagai peristiwa besar dan penting, sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam yang menjadi ingatan kepada seluruh umat mukmin, antaranya ialah;

1) Kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ pada 9 Rabi’ul Awal tahun Gajah bersamaan 23 April 571 Masihi.

2) Rasulullah ﷺ mengahwini Khadijah binti Khuwailid pada 10 Rabi’ul Awal.

3) Nabi Muhammad ﷺ diangkat sebagai Rasul pada 1 Rabi’ul Awal ketika berusia 40 tahun. Maka dengan ini bermulalah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.

4) Rasulullah ﷺ bersembunyi di Gua Hira’ pada 2,3 & 4 Rabi’ul Awal.

5)  Sewaktu berhijrah ke Yatsrib (Madinah), Rasulullah ﷺ singgah di Quba’ pada 8 hingga 12 Rabi’ul Awal.

6. Nabi Muhammad ﷺ sampai di Quba’ pada hari Isnin 8 Rabi’ul Awal dan terus membina Masjid Quba’, masjid pertama dalam sejarah Islam.

7. Rasulullah ﷺ tiba di kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabi’ul Awal dan menunaikan solat Jumaat yang pertama bersama kira-kira 100 orang Islam yang bersama Baginda ketika itu.

8. Antara peperangan yang berlaku dalam bulan Rabi’ul Awal ialah Perang ‘Safwan’ (Badar pertama), ‘Bawat’‘Zi Amar’ (Ghatafan), ‘Bani An-Nadhir’,‘Daumatul Jandal’ dan peperangan ‘Bani Lahyan’.

(i)Dalam Perang Safwan, Baginda ﷺ keluar bersama para sahabat mengejar Karar bin Jabir Al Fihriy yang telah melakukan serangan ke atas binatang ternakan Madinah pada tahun kedua Hijrah.

(ii) Peperangan Bawat/Buwath– satu kawasan di Yanbu’; pada tahun kedua Hijrah bagi menyekat kafilah perniagaan Quraisy yang mengandungi 1500 ekor unta, diketuai oleh Umaiyah bin Khalaf.

(iii)  Perang Zi Amar (Ghatafan) pada tahun ketiga Hijrah di daerah Najd.

(iv)  Peperangan Bani An Nadhir pada tahun keempat Hijrah, mereka adalah salah satu golongan Yahudi yang mengadakan perjanjian damai dengan Baginda ﷺ, tetapi mereka mengkhianatinya dengan cubaan bagi membunuh Nabi ﷺ. Bagindaﷺ bersama para sahabat telah mengepung mereka selama 15 hari sehinggalah mereka bersetuju menyerah kalah kepada Rasulullah ﷺ. Mereka telah dikeluarkan dari Madinah dengan meninggalkan segala alat perang mereka kecuali barang makanan dan pakaian sahaja. Kesemuanya menuju ke Khaibar dan pada akhirnya kesemua kaum Yahudi telah dikeluarkan dari Semenanjung Tanah Arab ke Bumi Syam pada zaman Umar Al Khattab.

(v)  Pada bulan Rabi’ul Awal tahun kelima Hijrah berlakunya peperangan ‘Dumatu Al Jandal’.

(vi)  Peperangan ‘Bani Lahyan’ pada tanggal 15 tahun keenam Hijrah. Tentera Muslimin seramai 200 orang termasuk 20 penunggang kuda yang dipimpin sendiri oleh Rasulullah ﷺ tetapi tidak berlaku apa-apa peperangan disebabkan oleh Banu Lahyan melarikan diri ke bukit-bukau.

 

9. Pada tahun ketiga Hijrah, satu kumpulan tentera Islam yang diketuai oleh Muhammad bin Maslamah dihantar bagi membunuh Kaab bin Al Ashraf seorang ketua kaum Yahudi yang menghina Islam dengan syair-syairnya, menyeru kaum Quraish supaya memerangi Islam. Ia menunjukkan sikap penentangan terbuka yang ditunjukkan oleh orang Yahudi terhadap Islam dan penganutnya pada permulaan seruan Islam lagi kerana kedengkian yang menebal dalam sanubari mereka.

10. Pelepasan penghantaran tentera Islam oleh Abu Bakar As Siddiq yang dipimpin oleh Usamah bin Zaid bagi berhadapan dengan orang Rom, ia telah diarahkan oleh Baginda ﷺ supaya menuju ke tanah jajahan Rom tetapi terhenti disebabkan oleh kewafatan Baginda ﷺ.

11. Nabi Muhammad ﷺ wafat pada Isnin 12 Rabi’ul Awal tahun ke-11 Hijrah bersamaan 7 Jun 632 Masihi, di rumah isteri Baginda Aisyah RHA selepas sakit selama 13 hari dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.

12. Para sahabat melantik dan membai’ah Sayyidina Abu Bakar As Siddiq menjadi Khalifah pada tanggal 12 Rabi’ul Awal tahun 11 Hijrah di Dewan Bani Sa’idah, iaitu pada hari Rasulullah wafat.

13. Pada zaman Sayyidina Abu Bakar RA, tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid RA berjaya menaluki Iraq secara damai dalam bulan Rabi’ul Awal dan memulakan pembukaan ‘Al Hirah’ serta pemerintahan Islam di bumi Iraq.

14. Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dalam peperangan Al Hittin’ dan seterusnya membuka Baitul Maqdis pada bulan Rabi’ul Awal tahun 583 H.

15. Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada bulan Rabi’ul Awal tahun 897H.

16. Kemasukkan tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella ke bumi Gharnada, bandar dan kubu terakhir tentera Islam di Andalusia pada tahun 897 Hijrah.

 

Kekalahan di Andalusia, merupakan kejatuhan sebuah negara Islam yang amat menyayat hati. Orang Islam di sana dibunuh dengan kejamnya dan segala warisannya dimusnahkan. Antara sebab kejatuhan negara tersebut adalah pepecahan sesama ummat Islam, tidak menurut perintah Allah SWT, kelemahan strategi dan tenaga untuk berhadapan dengan kaum Kristian.

Kejatuhan tersebut ditangisi oleh semua umat Islam sehinggakan ada dalam kalangan penyair yang mengarang kedukaan itu di dalam syair-syair mereka.  Salah satu syair , dinukil oleh Abu Baqa’ ArRundi – Ritsaa’ul Andalus; Ratapan Andalus)

Kehilangan itu bermakna kemusnahan tempat-tempat sejarah warisan ummat Islam, masjid-masjid ditukarkan menjadi gereja dan muzium, tiada lagi suara azan berkumandang di negara tersebut.

 

|Artikel Sejarah Islam|

To Top
Loading...