
Kunjungan mesra oleh Tuan Mohd Khairul Adib bin Abdul Rahman yang merupakan Setiausaha Bahagian, Bahagian Antarabangsa, Kementerian Pelajaran Malaysia pada 12 Julai yang lalu telah membuka peluang kepada para mahasiswa untuk mendengar perkongsian daripada beliau. Keberadaan beliau di sini adalah bertujuan menghadiri beberapa mesyuarat penting antaranya ‘Coordination Meeting of Secretaries General and Competent Parties’ dan ‘4th Forum of International Organizations: ISESCO, ALESCO, dan ABEGS dari 10 hingga 13 Julai 2017 di ibu pejabat ISESCO di Rabat, Maghribi. Turut menghadiri majlis TYT Dato’ Jamal bin Hassan, Duta Besar Malaysia ke Maghribi.
Di samping itu, pihak kami juga berkesempatan merakamkan mutiara kata beliau yang berbunyi seperti berikut:
“Kepada saudara/i pelajar-pelajar Malaysia di Morocco yang dikasihi, semoga saudara/i sentiasa ceria dalam peliharaan Allah s.w.t. dan menabur budi setelah tamat pengajian nanti, tidak kira di mana atau dalam bidang apa. Semoga menjadi warga yang dibangga oleh semua rakyat Malaysia.”
Dan begitulah setiap kali kami didatangi tetamu pasti tidak lekang daripada bibir mereka untuk mengingatkan kami, mahasiswa Malaysia yang menuntut di Maghribi supaya bertungkus-lumus dalam menuntut ilmu demi kemajuan bangsa, agama dan negara.
Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Semoga kita semua dapat mengambil manfaat dan iktibar atas usaha-usaha sebegini.
Tarbiah – Cinta – Peduli