Aktiviti

Sambutan Kemerdekaan ke-60

Pada hari Khamis, 31 Ogos yang lalu, Sambutan Kemerdekaan yang ke-60 telah diadakan bertempat di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Maghribi, Rabat. Dengan kerjasama erat daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Maghribi, program ini telah berjaya menghimpunkan warga Malaysia di Maghribi sekaligus membuktikan bahawa semangat cinta akan tanah air masih mengalir di dalam jiwa anak watan di perantauan hujung benua Afrika ini.

Majlis dimeriahkan dengan pelbagai agenda yang menarik, antaranya nyanyian Asmaul Husna, lagu Negaraku dan lagu tema kemerdekaan 2017, “Sehati Sejiwa”, bacaan ikrar Rukun Negara oleh Presiden PMMM serta Siri Wacana Ilmiah bersama pegawai kedutaan (SIWAK) bertajuk “Menelusuri Jejak-jejak Kemerdekaan” yang disampaikan oleh Encik Shahril Nizam Abdul Malek selaku Penasihat Kedutaan.

Kemudian, majlis disemarakkan lagi dengan persembahan oleh wakil mahasiswa dan mahasiswi di sini yang berjaya mencuri perhatian penonton iaitu pendeklamasian sajak “Di Bawah Lembayung Kemerdekaan” serta persembahan teater “Erti Sehati Sejiwa”. Seterusnya, mahasiswa-mahasiswa Malaysia di Maghribi turut bersama-sama menjayakan program World #QuranHour pada sebelah petangnya dengan alunan bacaan ayat suci Al-Quran secara serentak selama satu jam. Program ini secara tidak langsung telah mendokong matlamat asal pelaksanaan kempen tersebut iaitu melahirkan masyarakat yang membaca, memahami serta membudayakan intipati Al-Quran dalam kehidupan seharian.

T.Y.T. Dato’ Jamal bin Hassan dan isteri dilihat turut hadir bersama bagi menyerikan lagi majlis ini yang kami kira sebagai majlis terakhir yang beliau sertai setelah 6 tahun bertungkus-lumus berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Maghribi. Komitmen beliau terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan terutamanya dalam menjaga kebajikan serta hal ehwal rakyat Malaysia di Maghribi telah dilaksanakan dengan sebaiknya. Oleh itu, satu majlis perpisahan bersama Dato’ Duta Besar di bawah kendalian presiden persatuan, saudara Ahmad Haiqal Fitri bin Ahmad Fuad telah diadakan sebagai tanda penghargaan dan apresiasi daripada pihak kami memandangkan Dato’ Duta Besar dan isteri bakal berangkat pulang ke tanah air pada September ini.

Akhir kata, terima kasih kami ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Sungguh, usaha dan penat lelah kalian telah berjaya merealisasikan impian negara dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan setia kepada negara.

“Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-60” kami ucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang berada di seantero dunia!

#NegarakuSehatiSejiwa
#AnakAnakMalaysia2017
#MalaysiansinMorocco

Tarbiah – Cinta – Peduli

To Top
Loading...