Artikel

Senyum, dan kau akan bahagia

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum wbt,

‘SENYUM’

Mulakan hari anda dengan senyuman. Kerana dengan sebuah senyuman, mampu mengubah segalanya. Kuasa senyuman mampu menjadikan segala yang negatif kelihatan positif, segala yang berat akan terasa ringan dan segala yang sukar menjadi mudah. Dengan izin Allah.

Terdapat banyak kebaikan senyuman. Antara kebaikan senyuman termasuklah memberi kelebihan kepada badan dan minda. Selain itu, senyuman juga mampu mengurangkan risiko tekanan darah tinggi dan pelbagai penyakit jantung. Dengan senyuman juga, dapat menambah keyakinan diri seseorang dan membawa seseorang kepada suatu perubahan yang lebih baik.

Lantaran banyaknya kelebihan senyuman, maka Rasulullah s.a.w menyarankan kita untuk sentiasa senyum. Senyuman bukanlah suatu adat atau sekadar riak muka tetapi ia adalah suatu ibadat kerana ia merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. Oleh itu, sebagai pengikut Nabi Muhammad s.a.w kita sewajarnya mencontohi baginda dan menjadikan baginda sebagai  role-model dalam kehidupan seharian walau dalam sekecil-kecil perkara kerana baginda merupakan seorang yang berhikmah; tidak melakukan sesuatu secara sia-sia.

Baginda Rasulullah s.a.w sentiasa tersenyum. Baginda tidak akan berkata apa-apa tanpa tersenyum sehingga ada yang membuat perumpamaan tentang keadaan baginda ketika gembira seolah-olah matahari dan bulan beredar di sekeliling dahi baginda. Perkara ini menunjukkan kepada kita bahawa cahaya dari raut wajah baginda yang bersinar itu sangat menenangkan dengan senyuman lembut baginda.

Tawa Rasulullah yang sederhana merupakan terapi bagi jiwa dan bukti jernihnya fikiran baginda. Begitu juga raut wajahnya yang  sentiasa dipenuhi dengan senyuman. Hal ini mungkin nampak kecil dan tidak bererti tetapi apabila dikaji, sebenarnya senyuman Rasulullah s.a.w  memberi impak positif yang sungguh luar biasa. Hikmahnya, banyak kejayaan Rasulullah s.a.w  dalam misinya sebagai penyebar risalah tauhid disebabkan oleh senyuman dan keramahan baginda. Allahumma solli a’la Muhammad.

 

NABI MUHAMMAD S.A.W, SENYUMAN DAN TAWA BAGINDA

  • Senyum Itu Sedekah

تبسّمك في وجه أخيك لك صدقة، وأمرك بالمعروف ونهيك عن المنكر صدقة، وإرشادك الرجل في أرض الضلال لك صدقة، وإماطتك الحجر والشوك والعظم عن الطريق لك صدقة.      (رواه البخاري)

Maksudnya : “Senyummu pada wajah saudaramu adalah sedekah, ajakanmu kepada kebaikan dan pencegahanmu terhadap keburukan adalah sedekah, petunjukmu kepada orang yang tersesat yang bertanya kepadamu adalah sedekah, penyingkiranmu akan batu, duri, dan tulang dari jalan adalah sedekah.”

(مختار الأحاديث النبوية والحكم المحمدية – للسيد أحمد الهاشمي)    

‘Sedekah’ berasal dari perkataan bahasa Arab iaitu صَدَقَةyang bererti pemberian seorang muslim kepada orang lain secara sukarela tanpa dibatasi oleh waktu dan jumlah tertentu. Dalam Islam, s­edekah tidak semestinya berupa wang atau harta bahkan perbuatan baik seperti membahagiakan orang lain dengan memberikan senyuman turut dikira sebagai sedekah dan diberi ganjaran pahala.

  • Banyak Tersenyum

حدّثنا قتيبة بن سعيد، قال : أخبرنا ابن لهيعة، عن عبيد الله بن المغيرة، عن عبد الله بن الحارث بن جَزْء رضي الله عنه، أنه قال : ما رأيت أحدًا أكثرَ تبسّما من رسول الله (ص).

Maksudnya :“Aku tidak pernah melihat orang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wasallam.”

(الشمائل المحمدية والخصائل المصطفوية للإمام أبي عيسى محمد بن عيسى الترمذي)

حدّثنا أحمد بن منيع، قال :حدّثنا معاوية بن عمرو، قال : حدّثنا زائدة، عن إسماعيل بن أبي خالد، عن قيْس، عن جرير، قال : ما حَجَبَني رسول الله (ص)، ولا رآني منذ أسلمت إلا تبسَّم.

Maksudnya : Sejak aku masuk Islam, Rasulullah Sollallahu’alaihi Wasallam tidak pernah menghindari aku jika aku ingin bertemu dengannya, dan tidak pernah aku melihat beliau kecuali beliau tersenyum padaku” 

(الشمائل المحمدية والخصائل المصطفوية للإمام أبي عيسى محمد بن عيسى الترمذي)

Baginda Rasulullah s.a.w sentiasa tersenyum dalam pelbagai situasi dan kepada sesiapa sahaja. Walaupun dalam keadaan marahsekali pun, baginda tetap mempamerkan senyumannya hatta kepada orang yang tidak disukai.

 

  • Tawa Nabi Muhammad s.a.w

حدّثنا أحمد بن منيع، قال : حدّثنا عبّاد بن العوّام، قال : أخبرَنا الحجّاج – وهو ابن أرْطاة – عن سِماك بن حرْب، عن جابر بن سَمُرَة رضي الله عنه، قال : كان في ساقَيْ رسول الله (ص)، حُمُوشَة، وكان لا يضحك إلا تبسّما، فكنت إذا نظرت إليه، قلت : أكحلُ العينين، وليس بأكحلَ.

Maksudnya :Kedua betis Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam halus, & tidaklah beliau tertawa kecuali hanya tersenyum, apabila aku melihat beliau, maka aku akan mengatakan; Seakan-akan beliau memakai celak pada kedua matanya, walaupun beliau tak mengenakan celak.”

(الشمائل المحمدية والخصائل المصطفوية للإمام أبي عيسى محمد بن عيسى الترمذي)

وقال خارجة بن زيد : …كان ضحكه تبسّمًا، وكلامه فصلا لا فصول ولا تقصير، وكان ضحك أصحابه عنده التبسّم توقيرًا له واقتداء به.

Maksudnya : “Tawa Nabi Muhammad  Sollallahu ‘Alaihi Wasallam hanyalah senyuman….”

(الرحيق المختوم بحث في السيرة النبوية على صاحبها أفضل الصلاة والسلام – تأليف فضيلة الشيخ صفي الرحمن المباركفوري)

Ketawa Nabi Muhammad s.a.w hanyalah senyuman. Tertawanya Rasulullah s.a.w dalam pelbagai suasana sehingga nampak gigi gerahamnya. Akan tetapi baginda tidak tertawa secara keterlaluan; sehingga bergoyang tubuh atau sehingga terbahak-bahak.

 

 

‘Senyuman Perpisahan’ – Hari Akhir Kewafatan Baginda Rasulullah S.A.W

روى أنس بن مالك : أن المسلمين بينا هم في صلاة الفجر من يوم الاثنين – وأبو بكر يصلّي بهم – لم يفجأهم إلا رسول الله (ص) كشف ستر حجرة عائشة فنظر إليهم، وهم في صفوف الصلاة، ثم تبسّم يضحك فنكص أبو بكر على عقبيه، ليصل الصف، وظنّ أن رسول الله (ص) يريد أن يخرج إلى الصلاة . فقال أنس : وهمّ المسلمون أن يفتتنوا في صلاتهم، فرَحًا برسول الله (ص)، فأشار إليهم بيده رسول الله (ص) أن أتموا صلاتكم، ثم دخل الحجرة وأرخى الستر.

Maksudnya : Sungguh ketika muslimin sedang solat Subuh pada pagi Isnin; saat itu yang mengimami mereka Abu Bakr. Yang mengejutkan mereka tiada lain kecuali saat baginda menyingkapkan tirai kamar Aisyah. Lalu beliau melihat mereka yang pada waktu mereka sedang berbaris di saf solat. Beliau pun tersenyum puas. Kemudian Abu Bakr mundur ke belakang untuk bergabung dengan saf karena ia menduga Rasulullah akan keluar untuk solat. Anas berkata; Kaum Muslimin pada waktu itu merasa tergoda solatnya karena gembira dengan kedatangan Rasulullah. Namun Rasulullah memberi isyarat dengan tangannya kepada mereka agar mereka menyempurnakan solatnya. Kemudian beliau masuk kamar & menutup tirainya kembali. “

(الرحيق المختوم بحث في السيرة النبوية على صاحبها أفضل الصلاة والسلام – تأليف فضيلة الشيخ صفي الرحمن المباركفوري)

Pada pagi Isnin hari kewafatan baginda, saat kesakitan yang amat menjengah baginda Rasulullah s.a.w , para muslimin sedang solat Subuh diimami oleh Abu Bakr As-Siddiq. Ketika itu Rasulullah s.a.w menyelak tirai kamar dan melihat kepada umatnya lalu baginda tersenyum kerana senang hati melihat para sahabat solat Subuh berjemaah. Lantas, para sahabat yang menyaksikan senyuman baginda itu hampir-hampir sahaja berhenti daripada solat kerana mereka terlalu rindu akan baginda dan senyumannya. Melihatkan keadaan itu, Rasulullah s.a.w memberi isyarat kepada para sahabat agar meneruskan solat. Setelah itu, baginda masuk kamar dan menutup tirainya kembali. Senyuman ini merupakan senyuman yang sungguh luar biasa dan dinamakan ‘senyuman perpisahan’ kerana merupakan senyuman terakhir baginda kepada sahabat sebelum kewafatan baginda. Allahumma solli a’la Muhammad.

 

|Artikel|
Disediakan oleh :
Nur Naeilah binti Zahid
Mahasiswi Tahun 3,
Universiti Hassan II Mohammedia, Casablanca.

 

To Top
Loading...