Artikel

TIPS PENGURUSAN MASA UNTUK PELAJAR

409548

Alhamdulillah kebanyakkan universiti-universiti di Maghribi telah pun memulakan pengajian untuk semester ganjil samada pada akhir bulan September atau awal bulan Oktober yang lalu. Jadi seperti kebanyakkan pelajar-pelajar lain di universiti, dengan bermulanya semester baru, pastinya kita juga perlu ada azam dan semangat baru dalam diri kita untuk melakukan yang lebih baik berbanding semester-semester sebelum ini.

Masa adalah aset penting bagi seorang manusia. Secara umum, apabila kita perhatikan pelajar yang cemerlang, kebiasaannya mereka bijak mengurus masa dan aktiviti harian mereka. Oleh itu, disini akan dikongsikan beberapa tips dalam menguruskan masa pelajar.

#1 Kenalpasti kekuatan & kelemahan diri kita :
Manusia dilahirkan berbeza. Mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Jika teman sebilik kita boleh belajar sehingga lewat malam, tidak semestinya kita juga mampu untuk belajar sehingga lewat malam. Mungkin kekuatan kita pada tidur awal dan bangun awal supaya kita boleh belajar pada awal pagi. Kita lebih tahu diri kita sendiri, jadi jangan ikut dan tiru cara belajar orang lain.
Oleh itu, kenal pasti dulu diri kita sebagai pelajar, di mana kekuatan dan kelemahan kita.

#2 Rancang jadual tetapi utamakan prioriti :
Mungkin bunyinya klise dan semua orang sudah tahu akan tip yang satu ini, tetapi cuba kita lihat balik, adakah kita punyai jadual yang tersusun dan kita mengutamakan mana yang patut diutamakan dahulu? Jika tidak rancang jadual disini bukanlah bermaksud setiap minit dari hidup kita perlu disusun dan diatur secara terperinci, namun, setidak-tidaknya kita perlu tahu apa yang akan kita lakukan pada esok hari.
Bagaimana, kemana, ke arah apa akan kita luangkan waktu-waktu lapang kita. Pastikan kita sentiasa cuba untuk merancang kehadapan, dan tidak membiarkan waktu-waktu lapang kita disia-siakan begitu sahaja.

#3 Fokus :
Fokus sentiasa menjadi kunci untuk mendapatkan hasil yang sempurna dan terbaik. Tanpa fokus, kita akan mengambil masa yang lama untuk menghadam atau menghafal sesuatu perkara. Untuk membantu fokus, jauhkan segala perkara yang kita rasa boleh mengganggu tumpuan kita dari pelajaran. Jika kita rasa telefon bimbit boleh mengganggu kita, maka kita boleh mengambil inisiatif untuk samada letakkan telefon bimbit kita dalam mode “silent” atau letak sejauh mungkin dari tempat kita belajar.

#4 Elakkan dari terpedaya dengan perkara trivia :
Dengan kecanggihan teknologi hari ini, kita mudah terganggu dengan perkara-perkara kecil yang sangat tidak penting dan relevan dengan diri kita. Sememangnya hari ini, tidak dapat dielakkan daripada menggunakan internet ketika membuat tugasan yang diberikan. Tutup semua laman web media sosial seperti facebook, twitter dan instagram. Jangan terpedaya dengan diri sendiri dengan mengatakan, “Nak rehat kejapla. Tengok facebook jap.” Percayalah, tanpa kita sedar, ‘sekejap’ yang diniatkan itu sebenarnya akan menjadi lama dengan perbuatan-perbuatan tanpa sedar kita lakukan dan tidak berfaedah. Bukan kita tidak boleh menggunakan media sosial. Tetapi kita perlu tetapkan masa dan durasi penggunaannya, agar masa tidak terbuang sia-sia.

#5 Jejak kembali masa yang telah berlalu :
Jejak kembali masa yang telah berlalu, atau dengan bahasa lainnya, muhasabah. Muhasabah kembali dengan masa-masa yang telah kita gunakan. Adakah masa-masa tersebut telah digunakan dengan sebaiknya atau sebaliknya. Sentiasa “keep track” berapa lama masa yang kita biasa perlukan untuk melaksanakan sesuatu tugasan. Sebagai contoh, kebiasaannya kita memerlukan 10-15 minit untuk makan, jadi kita sudah tahu, sekiranya kelas kita bermula dalam masa 20 minit lagi, dan perjalanan ke kelas mengambil masa kurang 5 minit, jadi kita tahu, kita masih sempat untuk makan sebelum ke kelas.

Kesimpulannya, mengurus masa memerlukan kita untuk sentiasa fokus terhadap prioriti dalam pada masa yang sama juga fleksible. Yang penting, tiada masa yang terbuang sia-sia.

Tarbiah – Cinta – Peduli

#artikelbulanan
#pmmm_media

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

To Top
Loading...