Artikel

Utsmān al-Salālijī : Ulama Agung Barat Islam

Negara Morocco atau dikenali juga dengan Maghribi merupakan sebuah negara Islam dalam dunia moden yang beraqidah Islam aliran Ahli Sunnah wal Jama`ah persepsi Al-Ash`ariyyah sebagai aqidah rasmi negara. Aqidah ini telah masuk ke negara Maghribi sejak dinasti Al-Murabithin (Al-Moravid) pada kurun ke 10 Masihi.

Untuk mengetahui sejarah penyebaran aqidah ini di Maghribi, maka para penuntut ilmu seharusnya mengkaji karya dan penulisan ulama’ Ash`ariyyah yang terdahulu. Salah seorang daripada ulama’ Ash`ariyyah yang penulis maksudkan ialah Abu Amr Utsman Ibn Abdillah Ibn Isa.  Nama beliau sangat terkenal sebagai seorang ulama agung Barat Islam. Beliau merupakan salah seorang ulama’ yang paling awal mengembangkan pengaruh Al-Ash`ariyyah di negara Maghribi. Tokoh yang lebih dikenali dengan gelaran Syaikh Utsman al-Salaliji al-Fasi dilahirkan sekitar tahun 521 Hijri.1

Gelaran al-Salaliji yang disandarkan kepada beliau berasal daripada nama sebuah bukit atau bandar Sliljou iaitu salah satu bandar yang terletak di timur Fes.2 Syaikh Utsman al-Salaliji telah menghafaz Al-Qur`an di bandar ini sebelum berpindah ke kota Ilmu, Fes. Beliau datang ke Fes dengan penuh bersemangat untuk menuntut ilmu kerana di sana terdapat ramai ulama’, fuqaha’ dan orang-orang yang mulia dan masyhur yang datang dari pelbagai latar belakang.

Beliau menuju ke beberapa masjid kecil untuk mempelajari ilmu-ilmu asas, dan kemudiannya beliau berpindah ke Jami’ Qarawiyyin untuk mendalami ilmu Nahw dan Fiqh dengan mempelajari Risalah Ibn Abi Zayd al-Qayrawani daripada Abi Abdillah Muhammad Ibn Isa al-Tadili sepertimana beliau mempelajari, menghafaz dan menekuni Muwattho’ Imam Malik daripada Abi al-Hassan Ibn Khalifah. Kemudian, beliau mendalami ilmu Fiqh di peringkat yang lebih tinggi, dan juga pelajaran Al-Hadits serta Ulum Al-Hadits dan menekuninya untuk diterima mempelajari Ilmu Tasawwuf dan mempraktikkan ilmu ini dalam tingkah lakunya sehari-harian.

Seterusnya, beliau meneruskan lagi pengajian dalam  ilmu Usul Al-Fiqh sehinggakan beliau menetapkan waktu yang khusus untuk mempelajari dan menekuni ilmu ini sehingga beliau menjadi pakar dalam ilmu tersebut dan para penuntut ilmu berangkat pergi kepada beliau untuk menuntut ilmu. Berkat didikan beliau, lahirnya generasi ahli usul yang agung yang menjadi tempat rujukan pada zaman mereka sehinggalah para penuntut ilmu dari Andalus juga turut datang ke Fes untuk bertukar pandangan dalam ilmu dengan beliau. Syaikh Utsman al-Salaliji digelar Munqiz Ahl Fas min Al-Tajsim dan Imam Ahl al-Maghrib fi `Ilm al-I’tiqad telah menjadi rujukan masyarakat Fes dalam ilmu aqidah yang membuktikan kedudukan beliau yang sangat berilmu dan mahir dalam ilmu I’tiqad.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Imam al-Salaliji memberi perhatian secara serius kepada ilmu I’tiqad. Antara sebab yang terpenting ialah pendirian dan muamalah gurunya (Abu Abdullah Muhammad al-Tadili) dengan beliau secara berterus-terang. Beliau berkata:

 

“Aku sedang mempelajari Mukhtasar Ibn Abi Zayd daripada Abi Abdillah Muhammad Ibn Isa, maka pada suatu hari aku memberi salam kepada beliau maka dia tidak menjawab salam ke atasku.

Maka, aku pun bertanya beliau tentang hal itu dan dia berkata kepadaku: <<Sesungguhnya, engkau tidak memaksudkan wajah Allah Ta`ala dengan ilmu (tajsim), maka dengan demikian itu tidak sepatutnya untuk menjawab salam ke atasmu.>>

Al-Salaliji berkata : <<Maka aku berpaling daripada beliau dalam keadaan yang sedih…>>”

 

Selepas daripada peristiwa itu, beliau menekuni kitab Al-Irshad karya Imam Al-Juwaini dengan menghafaz, memahami dan mengkajinya serta mendapat galakan dan dorongan daripada dua orang gurunya iaitu Ibn Harazhum (wafat pada 559 H) dan Ibn Al-Ramamah (wafat pada 567 H). Galakan dan  dorongan ini membantu beliau untuk terus teguh dengan minat beliau dalam perjalanan dan proses mendalami ilmu ini walaupun beliau turut mendapat tentangan sengit daripada orang-orang di sekelilingnya. Hal ini juga menjadikan Syaikh Utsman Al-Salaliji begitu tabah dalam menanggung kepayahan dalam mempelajari ilmu ini.

Kemudian, beliau berusaha bersungguh-sungguh dalam menyebarkan dan mempopularkan ilmu ini kepada orang ramai sehingga beliau dianggap sebagai rujukan masyarakat Fes dalam Aqidah Al-Ash`ariyyah. Beliau telah mengembangkan aqidah ini di Maghribi dengan dalil akal (الدليل العقلي) melalui sebuah risalah yang berjudul “Al-Aqidah Al-Burhaniyyah Wa Al-Fusul Al-Imaniyyah” (العقيدة البرهانية والفصول الإيمانية) yang beliau karang untuk seorang wanita Andalusia yang bernama Khairunah (wafat 594 H).2

Bentuk penulisan beliau juga banyak dipengaruhi oleh penulisan Imam Al-Juwaini, buktinya banyak hujah beliau dalam kitab “Al-Aqidah Al-Burhaniyyah Wa Al-Fusul Al-Imaniyyah” adalah berasal daripada kitab Al-Irshad. Maka metodologi yang digunakan adalah dengan membandingkan pendapat beliau dalam kitabnya dengan Al-Irshad serta kitab aqidah Al-Ash`ariyyah yang lain. Kitab ini menjadi sangat terkenal dan bermanfaat sehingga telah disyarahkan oleh banyak ulama.

Beliau wafat di kota Fes pada hari Ahad, tanggal 21 Jumadul Akhir pada tahun 564 Hijri dan ada yang mengatakan pada tahun 590 Hijri. Beliau dikebumikan di luar dengan berhadapan (bertentangan) dengan pusara Sidi Daras ibn Ismail bersebelahan (berdekatan) dengan taman perkuburannya.4

Risalah “Aqidah Burhaniyyah” merupakan satu-satunya peninggalan ilmiah yang ditinggalkan oleh beliau selepas kewafatannya.5 Ilmu ini telah memberi kesan yang jelas kepada pemikiran dan aqidah masyarakat Maghribi sehingga ke hari ini. Sesungguhnya, kehidupan Syaikh Utsman Al-Salaliji sebagai seorang tokoh dan ulama’ ibarat cahaya yang menerangi bumi, sepertimana beliau memberi manfaat dan istifadah yang banyak kepada kehidupan masyarakat Maghribi pada zamannya. Penulis berharap agar kita semua dapat mencontohi dan menteladani beliau dalam hamasah menuntut ilmu dengan melakukan kajian ilmiah dan mempraktikkan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian kita.

والله أعلم بالصواب.


 

­­­­­­­­­­­Rujukan:
[1]           Utsman Al-Salaliji Wa Mazhabiyatuhu Al-Ash`ariyyah oleh Dr. Jamal `Ilal al-Bukhti, m/s 90.
[2]           Sumber yang sama, m/s 82.
[3]           Dr. Jamal `Ilal al-Bukhti menyatakan dalam kitabnya bahawa antara sebab yang khusus dan utama yang menyumbang kepada penulisan risalah Burhaniyyah berkaitan dengan Khairunah yang merupakan anak murid beliau. Dia merupakan seorang wanita Andalusia yang zuhud dan dia mencintai akan ilmu dan ingin mempelajari ilmu Kalam untuk menjadikan aqidahnya terselamat daripada sesat dan terseleweng. Maka, dia meminta Syaikh Utsman Al-Salaliji menuliskan untuknya aqidah yang ringkas yang dapat memenuhkan keinginannya. Lalu, beliau pun menuliskan “aqidah” tersebut berulang-kali tetapi aqidah ini tidak direkodkan dengan sempurna.
[4]           Salwatu al-Anfas Juz 2 Hal. 242
[5]           Utsman Al-Salaliji Wa Mazhabiyatuhu Al-Ash`ariyyah, m/s 179

 

|PMMM PENDIDIKAN Kenali Ulama’ Maghribi|

Disediakan oleh : NURAINI HUDA BINTI KHALIL
Mahasiswi Tahun 3 Universiti Hassan II, Mohammedia

 

To Top
Loading...